Khamis, 2 Mei 2024 | 7:34am
Kanak-kanak berdiri di belakang dawai berduri berhampiran sebuah kem menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kanak-kanak berdiri di belakang dawai berduri berhampiran sebuah kem menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Demokrat AS desak Biden halang serangan Israel ke atas Rafah

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berdepan tekanan baharu daripada rakan parti Demokrat supaya mempengaruhi Israel untuk tidak melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Rafah.

Rafah di selatan Semenanjung Gaza kini menjadi lokasi perlindungan hampir separuh daripada 2.3 juta penduduk Semenanjung Gaza.

Lima puluh tujuh daripada 212 Demokrat di Dewan Perwakilan menandatangani surat menggesa pentadbiran Biden mengambil setiap langkah yang mungkin untuk menghalang kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, daripada melancarkan serangan habis-habisan di bandar berhampiran sempadan Mesir itu.

"Kami menggesa anda menggunakan undang-undang dan dasar sedia ada bagi menahan serta-merta bantuan ketenteraan ofensif tertentu kepada kerajaan Israel, termasuk bantuan yang telah ditandatangani bagi mengelakkan serangan berskala penuh ke atas Rafah," menurut surat bertarikh semalam itu.

Rumah Putih tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas surat berkenaan yang diketuai Perwakilan Pramila Jayapal dan Madeleine Dean.

Sokongan Biden untuk Israel muncul sebagai liabiliti politik yang penting untuk presiden, terutamanya dalam kalangan Demokrat muda.

Ia mencetuskan gelombang undi protes "tidak komited" dalam pemilihan utama Demokrat dan juga mendorong gelombang protes pro-Palestin di universiti AS.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan bagi Demokrat kerana Biden kini bersaing dengan pendahulunya dari Republikan, Donald Trump.

Semalam, Setiausaha Negara, Antony Blinken, berkata beliau masih belum melihat rancangan dijanjikan Israel ke atas Rafah yang akan melindungi orang awam, mengulangi bahawa Washington tidak dapat menyokong serangan sedemikian.

Blinken dan Netanyahu bertemu di Baitulmaqdis beberapa jam semalam, namun selepas itu Israel mengulangi operasi Rafah akan diteruskan walaupun berdepan pendirian AS dan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia akan membawa kepada "tragedi."

AS adalah penyokong diplomatik dan pembekal senjata utama Israel. Lawatan Blinken ke Israel berlaku kira-kira sebulan selepas Biden mengeluarkan amaran keras bahawa dasar Washington boleh berubah jika Israel gagal mengambil langkah untuk menangani bahaya ke atas orang awam, penderitaan kemanusiaan dan keselamatan pekerja bantuan.

Berita Harian X