Selasa, 30 April 2024 | 9:01am
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin di West Lawn of Columbia University di New York, semalam. -AFP
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin di West Lawn of Columbia University di New York, semalam. -AFP

Protes Gaza: Universiti Columbia mula gantung pengajian pelajar

NEW YORK: Universiti Columbia mula menggantung pengajian pelajarnya yang mengingkari arahan untuk bersurai dalam protes pro-Palestin yang meletus di kolej-kolej Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa di universiti berprestij di New York sebelum itu memberi kata dua agar perkhemahan protes itu dibersihkan sebelum jam 2 petang (waktu tempatan) atau pelajar berdepan tindakan tatatertib.

"Taktik menakutkan yang menjijikkan ini tidak bermakna jika dibandingkan dengan kematian lebih 34,000 rakyat Palestin.

"Kami tidak akan berpindah sehingga Columbia memenuhi tuntutan kami atau kami digerakkan secara paksa," kata satu kenyataan, yang dibacakan oleh seorang pelajar selepas tempoh itu berakhir.

Beberapa jam kemudian, Naib Presiden Komunikasi Columbia, Ben Chang, berkata universiti 'mula menggantung pengajian pelajar sebagai sebahagian fasa seterusnya untuk memastikan keselamatan di kampus'.

Beliau berkata, pelajar sudah diberi amaran, pengajian mereka akan 'digantung, tidak layak untuk menamatkan semester atau siswazah dan akan dihadkan daripada semua ruang akademik, kediaman dan rekreasi'.

Sementara itu, di Universiti Texas di Austin, polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan melakukan penahanan ketika menyuraikan perkhemahan, menjadikan seramai lebih 350 orang ditahan di seluruh AS pada hujung minggu itu.

"Tiada perkhemahan akan dibenarkan. Sebaliknya, tangkapan sedang dibuat," kata Gabenor Texas, Greg Abbott di media sosial, semalam.

Selama hampir dua minggu, gelombang protes terhadap perang Israel di Gaza merebak ke kampus universiti AS, selepas kira-kira 100 penunjuk perasaan ditahan di Columbia pada 18 April lalu.

Rakaman menunjukkan polis yang memakai peralatan rusuhan di pelbagai kolej untuk menyuraikan perhimpunan juga dilihat di seluruh dunia, sekali gus mengimbas kembali gerakan protes yang tercetus ketika Perang Vietnam.

Presiden Universiti Columbia, Minouche Shafik, dalam satu kenyataan semalam berkata, rundingan tidak berhasil dan 'ramai pelajar Yahudi dan pelajar lain juga, mendapati suasana tidak lagi tenteram dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Ramai telah meninggalkan kampus dan ini adalah tragedi."

"Bahasa dan tindakan anti-Semitik tidak boleh diterima dan gesaan untuk keganasan adalah sangat menjijikkan," katanya. -AFP

Berita Harian X