Rabu, 24 April 2024 | 2:34pm
Pengarah Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini. - Foto AFP
Pengarah Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini. - Foto AFP

UNWRA gesa siasatan susulan pembunuhan kakitangannya di Palestin

NEW YORK: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyiasat pembunuhan 180 kakitangannya.

Pengarah UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata berlaku 'pengabaian terang-terangan' terhadap operasi PBB di Gaza berikutan kira-kira 180 kakitangannya terbunuh.

Lazzarini turut berkata, UNRWA berjaya mengimbangi kekurangan sebahagian dana dengan mengumpul AS$100 juta (RM470 juta) derma dalam talian sejak konflik Israel-Palestin tercetus pada Oktober lalu.

Komen itu dibuat sehari selepas tersiarnya ulasan bebas yang menyatakan Israel masih belum memberikan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa ratusan kakitangan UNRWA adalah anggota kumpulan Hamas atau pejuang Islam lain.

Bagaimanapun, pengulas terbabit mengenal pasti 'isu berkaitan kesaksamaan' dalam agensi, contohnya hantaran media sosial pekerjanya.

Walaupun menerima dapatan itu, Lazzarini memberitahu pemberita bahawa serangan terhadap kesaksamaan UNRWA didorong matlamat utama untuk melucutkan status pelarian pada rakyat Palestin.

Ketaksuban itu mendorong desakan terhadap UNRWA supaya tidak berada di dalam Gaza, Baitulmaqdis timur dan Tebing Barat.

UNRWA ditubuhkan pada 1949 untuk berkhidmat kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dalam konflik Arab-Israel 1948, serta keturunan mereka. Sehingga kini, terdapat 5.9 juta pelarian Palestin berdaftar.

Lazzarini turut memberitahu, baru-baru ini beliau 'menggesa ahli UNSC menjalankan siasatan bebas dan tanggungjawab atas pengabaian terang-terangan terhadap premis, kakitangan dan operasi PBB di Semenanjung Gaza'.

Setakat semalam, katanya, 180 kakitangan UNRWA terbunuh dalam perang, 160 premis rosak atau musnah dan sekurang-kurangnya 400 orang terbunuh ketika mendapatkan perlindungan PBB.

Premis UNRWA yang dikosongkan sudah digunakan untuk tujuan ketenteraan oleh tentera Israel atau Hamas dan kumpulan militan lain, manakala kakitangan UNRWA turut ditahan dan diseksa.

Lazzarini turut menegaskan, siasatan adalah perlu bagi akauntabiliti, supaya standard bantuan kemanusiaan dalam keadaan konflik pada masa depan tidak diperlekehkan. - AFP

Berita Harian X