Rabu, 24 April 2024 | 2:15pm
Logo Tesla pada salah satu premisnya di Los Angeles, California di Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Logo Tesla pada salah satu premisnya di Los Angeles, California di Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Tesla hentikan hampir 2,700 pekerja di kilang Texas, AS

HOUSTON: Tesla akan memberhentikan hampir 2,700 pekerja pada Jun ini di kilangnya di Austin, ibu kota negeri Texas di Amerika Syarikat (AS), menurut notis yang diperoleh pelbagai media semalam.

Menurut notis itu, yang dikenali sebagai Pemberitahuan Pelarasan dan Latihan Semula Pekerja (WARN), Tesla akan memberhentikan 2,688 pekerja secara kekal di Gigafactory di Austin selama 14 hari bermula 14 Jun, lapor Xinhua.

Tesla mengeluarkan notis itu kepada Suruhanjaya Tenaga Kerja Texas dan Datuk Bandar Austin, Kirk Watson, kelmarin.

Syarikat itu memanggil semula hampir 4,000 Cybertruck minggu lalu kerana masalah pedal pemecut yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Ini meliputi semua trak yang telah dijual Tesla sejak kenderaan itu memasuki pasaran pada November.

Tesla mengeluarkan surat amaran kepada Jabatan Buruh Negeri New York beberapa hari lalu mengatakan bahawa pembuat EV akan membatalkan 285 jawatan di kemudahannya di Buffalo, New York.

Awal bulan ini, Tesla memberitahu pekerjanya bahawa ia akan memberhentikan 'lebih daripada 10 peratus' tenaga kerja globalnya, yang boleh memberi kesan kepada lebih daripada 14,000 kakitangan.

Berita itu diumumkan selepas pembuat kereta elektrik itu melaporkan penurunan pertama tahun ke tahun dalam jualannya sejak 2020.

Syarikat itu juga memberi amaran bahawa pertumbuhan jualan mungkin 'lebih rendah' pada 2024 daripada sasaran asal pertumbuhan 50 peratus setiap tahun.

Di bawah Akta WARN, undang-undang buruh AS, majikan AS yang mempunyai 100 atau lebih pekerja dikehendaki memberikan pemberitahuan 60 hari lebih awal mengenai penutupan yang dirancang atau pemberhentian besar-besaran. – BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X