Selasa, 23 April 2024 | 11:52am
Calon presiden dari parti Republikan 2024, Trump menghadapi perbicaraan kerana salah laku dalam kempen pada 2016. - Foto REUTERS
Calon presiden dari parti Republikan 2024, Trump menghadapi perbicaraan kerana salah laku dalam kempen pada 2016. - Foto REUTERS

Trump bayar model majalah lucah - Pendakwa raya

NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat mewujudkan satu tuduhan jenayah terhadap Donald Trump yang menjelaskan pemimpin itu membayar wang kepada seorang model gambar lucah, beberapa hari sebelum pilihan raya presiden 2016 berlangsung.

"Kes ini mengenai konspirasi jenayah dan cubaan penyembunyian.

"Beliau merancang satu kaedah salah untuk merosakkan pilihan raya presiden 2016," kata Pendakwa Raya Matthew Colangelo.

Sewaktu membentangkan kes pendakwaan kepada juri, Colangelo berkata, Trump memalsukan rekod perniagaan untuk membayar bintang lucah Stormy Daniels, susulan hubungan seksual pada 2006 yang boleh menjejaskan kempen untuk menjadi presiden.

"Ia penipuan pilihan raya, terang-terangan dan mudah saja," katanya.

Trump, 77, berpakaian sut biru tua dan tali leher biru disemat pin bendera Amerika Syarikat, duduk di meja pembelaan dengan diapit peguamnya dan dia merenung lurus ke hadapan ketika pendakwa raya menyampaikan hujah pembukaan.

Kes itu sangat menjejaskan kempen Trump yang kini mahu menjadi calon presiden bagi parti Republikan, menjelang pilihan raya November ini, melawan calon Demokrat yang juga penyandang, Joe Biden.

Saksi pendakwaan dijangka termasuk model lucah, Daniels dan bekas pegawai penyelesai Trump, Michael Cohen, yang bertanggungjawab mengaturkan bayaran kepada pelakon filem lucah itu.

"Presiden Trump tidak melakukan sebarang jenayah. Pendakwa tidak sepatutnya membawa kes ini. Tidak ada salahnya cuba mempengaruhi pilihan raya," kata Todd Blanche, seorang peguamnya dalam kenyataan pembukaan. - AFP

Berita Harian X