Ahad, 21 April 2024 | 8:16am
Pakej itu yang mendapat sokongan luas merentasi dua parti akan dibawa ke Dewan Senat - Foto AFP
Pakej itu yang mendapat sokongan luas merentasi dua parti akan dibawa ke Dewan Senat - Foto AFP

AS lulus AS$95 bilion pakej bantuan Ukraine, Israel

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), semalam, meluluskan pakej perundangan bernilai AS$95 bilion (RM454 bilion) yang menyediakan bantuan keselamatan kepada Ukraine, Israel dan Taiwan.

Pakej itu yang mendapat sokongan luas merentasi dua parti akan dibawa ke Dewan Senat, yang meluluskan langkah sama kira-kira dua bulan lalu.

Pemimpin AS daripada Presiden Demokrat, Joe Biden, hingga ke Senator Republikan Senat, Mitch McConnell menggesa Speaker Dewan Republikan, Mike Johnson untuk mengemukakannya bagi undian.

Dewan Senat akan mula mempertimbangkan rang undang-undang (RUU) itu pada Selasa.

Kelulusan di peringkat akhir dijangka minggu depan, yang akan membuka jalan bagi Biden untuk menandatanganinya sebelum ia dikuatkuasakan sebagai satu undang-undang.

RUU itu menyediakan sebanyak AS$60.84 bilion (RM290 bilion) untuk menangani konflik di Ukraine, termasuk AS$23 bilion RM110 bilion) untuk menambah senjata, stok dan kemudahan AS.

Ia juga memperuntukkan AS$26 bilion (RM124 bilion) untuk Israel, termasuk AS$9.1 bilion (RM42 bilion) untuk keperluan kemanusiaan dan AS$8.12 bilion (RM38.8 bilion) untuk Indo-Pasifik, termasuk Taiwan.

Biden, yang menggesa Kongres sejak tahun lalu untuk meluluskan bantuan tambahan kepada Ukraine, berkata keperluan itu adalah mendesak apatah lagi kini Israel berdepan serangan dari Iran manakala Ukraine diancam pengeboman berterusan dari Russia.

Undian membabitkan pakej bantuan Ukraine adalah 311-112 yang mana 112 Republikan menentang undang-undang itu, dengan hanya 101 menyokong.

Sementara itu, wakil Republikan sayap kanan, Marjorie Taylor Greene yang mengutuk Johnson atas kelulusan pakej itu menjadi penentang utama terhadap bantuan ke atas Ukraine.

Beliau juga pernah mengancam untuk memecat Johnson daripada jawatan berhubung isu ini.

Namun, Greene dilihat berhenti daripada berbuat demikian, semalam.

Ketika sesi pengundian, beberapa wakil rakyat mengibarkan bendera kecil Ukraine, sekali gus menunjukkan pakej itu diluluskan.

Johnson bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan itu melanggar peraturan dewan.

Bagi pakej Israel pula, ia diluluskan dengan 366-58, dengan 37 Demokrat dan 21 Republikan membangkang bantuan itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Demokrat yang progresif meluahkan kemarahan terhadap kerajaan Israel dan tindakannya dalam peperangan di Gaza.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy yang menzahirkan penghargaan terhadap pakej itu berkata, wakil rakyat AS dilihat membuat tindakan yang betul.

"RUU bantuan penting AS yang diluluskan Dewan akan menghalang perang daripada semakin teruk, menyelamatkan ribuan nyawa, dan membantu kedua-dua negara kita menjadi lebih kuat," katanya melalui X.

Namun, jelas dalam tempoh berapa lama pembiayaan tentera baharu untuk Ukraine akan dihabiskan, menyebabkan wujudnya keperluan untuk tindakan lanjut oleh Kongres. -REUTERS

Berita Harian X