Sabtu, 20 April 2024 | 8:36pm
Lokasi dimana seorang lelaki membakar dirinya di luar mahkamah tempat perbicaraan jenayah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang dijalankan, di New York. - Foto REUTERS
Lokasi dimana seorang lelaki membakar dirinya di luar mahkamah tempat perbicaraan jenayah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang dijalankan, di New York. - Foto REUTERS

Lelaki maut bakar diri di luar mahkamah Trump dibicarakan

NEW YORK: Seorang lelaki maut selepas membakar dirinya di luar mahkamah New York, Amerika Syarikat (AS) di mana perbicaraan bekas Presiden AS, Donald Trump, sedang berlangsung.

Bagaimanapun, menurut pegawai, tindakan lelaki berkenaan disifatkan tidak menyasarkan atau ada kaitan kepada Trump.

Menurut saksi, lelaki itu mengeluarkan risalah dari beg galas dan melemparkannya ke udara sebelum dia menyiram dirinya dengan cecair dan menyalakan api membakar dirinya.

Antara risalah berkenaan menunjukkan tulisan 'jutawan jahat' tetapi saksi yang melihat tragedi itu tidak mendengar nama Trump disebut.

Jabatan Polis New York berkata, lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Max Azzarello dari St Augustine, Florida, tidak menyasarkan Trump atau orang lain yang terbabit dalam perbicaraan itu.

"Sekarang kami melabelnya sebagai ahli teori konspirasi dan kami akan mulakan siasatan dari sini," kata Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Polis, Tarik Sheppard, pada sidang akhbar.

Lelaki itu dilaporkan terbakar selama beberapa minit dalam pandangan penuh kamera televisyen yang dipasang di luar mahkamah, tempat perbicaraan jenayah pertama bekas presiden AS itu diadakan.

NBC News dan media AS melaporkan lelaki itu meninggal dunia di hospital. Pegawai sebelum ini berkata, lelaki yang berusia lewat 30-an itu berada dalam keadaan kritikal.

menurut manifesto dalam talian seorang lelaki menggunakan nama yang sama dengan mangsa itu berkata, dia membakar dirinya dan meminta maaf kepada rakan, saksi dan responden pertama.

Dalam hantaran itu, ia memberi amaran mengenai 'rampasan kuasa fasis zaman kemusnahan' dan mengkritik mata wang kripto serta ahli politik AS, tetapi tidak menyatakan Trump secara khusus.

Bau asap memenuhi plaza menempatkan bangunan mahkamah itu sejurus selepas kejadian dan seorang pegawai polis menyemburkan cecair pemadam api.

Mahkamah di pusat bandar Manhattan yang dikawal ketat oleh polis itu menarik ramai penunjuk perasaan dan penonton pada Isnin lalu, hari pertama perbicaraan, walaupun orang ramai semakin berkurangan sejak itu. - REUTERS

Berita Harian X