Sabtu, 20 April 2024 | 7:35pm
Gambar fail Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, menyampaikan ucapan mengenai perkongsian Australia - United Kingdom - A.S. (AUKUS), selepas mesyuarat tiga hala, di Naval Base Point Loma di San Diego, California, AS. - Foto REUTERS
Gambar fail Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, menyampaikan ucapan mengenai perkongsian Australia - United Kingdom - A.S. (AUKUS), selepas mesyuarat tiga hala, di Naval Base Point Loma di San Diego, California, AS. - Foto REUTERS

Pengecualian perdagangan AUKUS akan dimuktamadkan dalam 120 hari

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menjangka dapat memuktamadkan pengecualian perdagangan baharu bagi projek pertahanan Australia, United Kingdom (UK) dan AS (AUKUS) dengan Australia serta Britain dalam tempoh 120 hari akan datang.

"Pengecualian dalam sistem kawalan eksport kami, dalam rangka kerja standard bersama dengan Australia dan UK, adalah kunci untuk memanfaatkan dan memaksimumkan kuasa inovatif yang berada di pangkalan industri pertahanan kami.

"Kami menjangka sepenuhnya untuk memuktamadkan pengecualian perdagangan baharu berdasarkan input pihak berkepentingan dalam tempoh 120 hari akan datang," menurut jabatan itu.

Akta Keizinan Pertahanan Nasional 2024 memerlukan Presiden AS, Joe Biden, untuk menentukan dalam tempoh 120 hari selepas beliau menandatanganinya menjadi undang-undang pada 22 Disember lalu.

Ia bagi menentukan sama ada Australia dan Britain mempunyai rejim kawalan eksport 'setanding dengan AS', maka dengan itu layak untuk pengecualian apabila tempoh 120 hari itu dicapai hari ini.

Kenyataan Jabatan Negara AS menunjukkan kelewatan dalam penentuan itu, tetapi undang-undang memerlukan Biden untuk menyemak semula isu itu dalam 120 hari lagi.

Penggubal undang-undang kanan Republikan minggu ini melahirkan kebimbangan mengenai kelewatan dalam AUKUS jika Biden tidak memberikan pengecualian daripada kawalan eksport yang ketat untuk barangan pertahanan yang dilindungi oleh Peraturan Pemerdagangan Senjata Antarabangsa (ITAR) AS.

Pada Khamis lalu, Jabatan Perdagangan AS berkata, ia mengurangkan keperluan kawalan eksportnya untuk Australia dan Britain bagi menggalakkan perdagangan pertahanan di bawah AUKUS, mengurangkan beban pelesenan untuk perdagangan bernilai lebih daripada AS$7.5 bilion (RM36 bilion).

Bagaimanapun, Jabatan Perdagangan AS hanya mengendalikan pelesenan beberapa barang berkaitan pertahanan, bukan julat barangan lebih luas yang dilindungi oleh rejim ITAR ditadbir oleh Biro Hal Ehwal Politik-Ketenteraan Jabatan Negara AS.

AUKUS ditubuhkan pada 2021 untuk menangani kebimbangan umum mengenai kuasa China yang semakin meningkat.

Teras pertamanya adalah untuk berurusan dengan pembekalan kapal selam berkuasa nuklear ke Australia.

Sementara itu, teras kedua memerlukan kerjasama lebih segera dalam barang pertahanan berteknologi tinggi seperti pengkomputeran kuantum, keupayaan dasar laut, hipersonik, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi siber. - REUTERS

Berita Harian X