Jumaat, 19 April 2024 | 11:48am
Seorang jururawat menjaga pesakit demam denggi di Hospital Nasional Sergio Bernales di pinggir Lima, Peru. - Foto AFP
Seorang jururawat menjaga pesakit demam denggi di Hospital Nasional Sergio Bernales di pinggir Lima, Peru. - Foto AFP

Kes denggi meningkat 50 peratus di Amerika Selatan

MEXICO: Kes denggi mewujudkan 'keadaan kecemasan' di Amerika Selatan, walaupun kes di kawasan panas Argentina dan Brazil nampaknya sudah stabil, kata Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO).

PAHO, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengesahkan lebih 5.2 juta kes denggi di seluruh benua Amerika Selatan tahun ini, peningkatan lebih 48 peratus daripada 3.5 juta kes yang dilaporkan kumpulan itu lewat bulan lalu.

Lebih 1,800 orang meninggal dunia akibat penyakit virus bawaan nyamuk, meningkat daripada lebih 1,000 kematian yang dilaporkan pada bulan lalu pada tahun ini hingga Mac.

"Kami mempunyai keadaan kecemasan," kata Pengarah PAHO, Jarbas Barbosa, dalam taklimat akhbar.

Negara yang setakat ini paling teruk terjejas akibat wabak semasa, Argentina dan Brazil, 'masih mempunyai penularan yang sangat kuat', kata Barbosa, sambil menambah dalam beberapa minggu kebelakangan ini nampaknya terdapat penstabilan, malah pengurangan kes di negara berkenaan.

Barbosa memberi amaran bahawa bekalan vaksin denggi sedia ada adalah 'sangat terhad', malah vaksinasi yang meluas tidak akan memberi kesan serta-merta untuk mengurangkan wabak yang sedang berlaku.

"Vaksin denggi boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kes kematian yang teruk, tetapi ia akan mengambil masa sehingga vaksin menunjukkan kesan dalam penurunan kes denggi," katanya.

Gejala denggi termasuk demam, sakit kepala, muntah, ruam kulit, serta sakit otot dan sendi.

Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan demam berdarah yang lebih teruk, mengakibatkan pendarahan yang boleh menyebabkan kematian. - REUTERS

Berita Harian X