Jumaat, 19 April 2024 | 10:27am
Salah sebuah peluru berpandu balistik terdampar di pantai Laut Mati, selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS
Salah sebuah peluru berpandu balistik terdampar di pantai Laut Mati, selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS

' 3 letupan' di Iran cemaskan Asia Barat

WASHINGTON: Letupan di Isfahan, tengah Iran awal pagi tadi mencemaskan Asia Barat, berikutan laporan awal media Amerika Syarikat (AS) mendakwa Israel melancarkan serangan membalas dendam terhadap republik Islam itu.

ABC News, yang memetik seorang pegawai AS, melaporkan Israel melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Iran, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan dron ke atas Israel.

Bagaimanapun, media Iran mengesahkan 'tiada serangan dari luar', sebaliknya sekurang-kurangnya tiga dron mini yang dilancarkan dari dalam negara ditembak jatuh, lapor agensi berita Tasnim, memetik sumber.

Agensi berita Fars Iran pula melaporkan, 'tiga letupan' kedengaran di pangkalan tentera udara Shekari, dekat lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran tetapi puncanya tidak diketahui dengan segera.

Kerajaan Iran berkata ia menembak jatuh beberapa dron dan 'tiada serangan peluru berpandu buat masa ini' ke atas negara itu, selepas letupan kedengaran berhampiran bandar Isfahan.

"Beberapa dron berjaya ditembak jatuh oleh pertahanan udara Iran, tiada laporan mengenai serangan peluru berpandu buat masa ini," kata jurucakap agensi angkasa lepas Iran, Hossein Dalirian, di platform X.

Beberapa tapak nuklear Iran terletak di wilayah Isfahan, termasuk Natanz, pusat program pengayaan uranium Iran.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semalam mengesahkan tiada kerosakan pada tapak nuklear Iran susulan dakwaan serangan Israel ke atas Iran.

Agensi itu terus memantau rapat perkembangan semasa dan menggesa semua pihak menahan diri daripada bertindak di luar batasan serta menegaskan kemudahan nuklear tidak boleh menjadi sasaran dalam konflik ketenteraan, katanya di platform X.

Susulan serangan itu, beberapa penerbangan dilencongkan dari ruang udara Iran dan Israel, mendorong syarikat penerbangan menyusun semula jadual penerbangan dengan mengelak ruang udara berkenaan, lapor CNN.

Beberapa negara Barat turut menasihatkan rakyat mereka menangguhkan perjalanan ke Asia Barat buat sementara waktu dan meminta kakitangan kedutaan mereka di Asia barat supaya berwaspada.

Pada hujung minggu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu dalam serangan balas selepas serangan yang disyaki Israel di kawasan kedutaannya di Damsyik, Syria, kebanyakannya ditembak sebelum sampai ke wilayah Israel.

Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bahawa Israel 'mesti dipaksa untuk menghentikan sebarang tindakan ketenteraan selanjutnya terhadap kepentingan Iran'.

Namun, Israel berkata ia akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Iran pada 13 April, dengan penganalisis serta pemerhati menimbulkan kebimbangan mengenai risiko perang Israel-Palestin merebak ke seluruh Asia Barat. - AGENSI

Berita Harian X