Jumaat, 19 April 2024 | 9:10am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

FBI dakwa penggodam China mahu serang infrastruktur AS

NASHVILLE: Penggodam dikaitkan dengan kerajaan China didakwa menceroboh infrastruktur kritikal Amerika Syarikat (AS) dan sedang menunggu 'masa sesuai' untuk melakukan tindakan siber lebih dahsyat.

Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray, berkata kumpulan penggodam yang digelar 'Volt Typhoon' berhasil memperoleh banyak akses terhadap syarikat AS.

"Ini termasuk dalam bidang telekomunikasi, tenaga, air serta sektor kritikal lain, dengan 23 pengendali utama disasarkan.

"Ia merancang menyerang infrastruktur awam dalam usahanya untuk mencetuskan panik," katanya dalam ucapan di Universiti Vanderbilt

Pada Sidang Kemuncak Vanderbilt 2024 mengenai Konflik Moden dan Ancaman Baharu, Wray menyatakan, China sedang membangunkan 'keupayaan bagi merosakkan infrastruktur fizikal yang kritikal dimiliki AS pada masa yang sesuai.

Tambah beliau, sukar untuk mengetahui niat penggodam siber itu sama ada ia sejajar dengan hasrat China yang lebih besar untuk menghalang AS daripada mempertahankan Taiwan.

China mendakwa negaranya mentadbir Taiwan secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri dan tidak pernah meninggalkan penggunaan kekerasan untuk membawa pulau itu di bawah kawalannya.

Taiwan membantah sekeras-kerasnya tuntutan kedaulatan China dengan mengatakan hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.

Awal minggu ini, jurucakap Kementerian Luar China berkata, Volt Typhoon tidak mempunyai hubung kait dengan kerajaannya, tetapi ia sebahagian daripada kumpulan jenayah 'ransomware'.

"Sesetengah syarikat di AS menggunakan pengesanan asal serangan siber sebagai alat menangkis serangan China, mendakwa AS sebagai mangsa, namun ia sebaliknya bertindak mempolitikkan isu keselamatan siber," kata kenyataan itu.

Wray berkata, penggodam China mengendalikan satu siri botnet, iaitu kumpulan komputer peribadi dan pelayan yang terjejas di seluruh dunia untuk menyembunyikan aktiviti siber berniat jahat mereka.

Syarikat teknologi dan keselamatan siber sektor swasta AS sebelum ini mengaitkan 'Volt Typhoon' dengan kerajaan China termasuk laporan oleh penyelidik keselamatan dengan Microsoft dan Google. - REUTERS

Berita Harian X