Jumaat, 19 April 2024 | 7:16am
Sesi mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Sesi mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

AS guna kuasa veto, halang PBB iktiraf negara Palestin

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) gunakan kuasa veto bagi menolak usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf negara Palestin.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia itu.

AS berkata sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin dan bukan melalui tindakan PBB.

Ia membantah deraf resolusi yang mengesyorkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA) supaya Palestin diterima menjadi ahli PBB.

Britain dan Switzerland berkecuali, manakala baki 12 ahli UNSC mengundi 'ya'.

Palestin pada masa ini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto kenegaraan yang diberikan oleh UNGA pada 2012.

Permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan oleh UNSC dan kemudian sekurang-kurangnya dua pertiga ahli UNGA.

Desakan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat ketika perang Israel-Palestin memasuki bulan ketujuh dan regim Yahudi itu terus memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki.

UNSC sudah sudah lama menyokong visi dua negara yang tinggal bersebelahan berdasarkan sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza, merangkumi semua wilayah ditawan Israel pada 1967.

Pihak Berkuasa Palestin, yang diketuai oleh Presiden Mahmoud Abbas, menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat.

Hamas, yang menggulingkan Pihak Berkuasa Palestin daripada kuasa di Gaza pada 2007, mengutuk keras tindakan AS menggunakan kuasa veto bagi menafikan hak Palestin menyertai PBB.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata tindakan AS itu melakarkan masa depan yang suram bagi keseluruhan Asia Barat yang kini berada 'di ambang perang'.

"Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan peningkatan yang berbahaya, baik dari segi kata-kata atau perbuatan," katanya pada mesyuarat UNSC.

Beliau merujuk kepada serangan peluru berpandu dan dron Iran pada hujung minggu, sebagai membalas serangan ke atas konsulatnya di Damsyik, yang dituduh dilakukan Israel.

"Kesilapan perhitungan atau penyampaian maklumat boleh membawa kepada perkara yang tidak dapat difikirkan iaitu konflik serantau berskala penuh yang akan memusnahkan semua yang terbabit.

"Sudah tiba masanya untuk menamatkan kitaran balas dendam yang berdarah," katanya. - AGENSI

Berita Harian X