Khamis, 18 April 2024 | 11:12pm
Pegawai tentera Iran memeriksa kenderaan UAV di lokasi yang tidak didedahkan di Iran. - Foto AFP
Pegawai tentera Iran memeriksa kenderaan UAV di lokasi yang tidak didedahkan di Iran. - Foto AFP

AS umumkan sekatan baharu ke atas Iran selepas peluru berpandu dan dron menyerang Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini mengumumkan sekatan baharu ke atas Iran selepas serangan ke atas Israel dengan menyasarkan penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Presiden AS, Joe Biden, berkata pemimpin G7 turut komited untuk bertindak bersama dalam meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Tehran.

Biden berkata, AS dan sekutunya membantu Israel menewaskan serangan peluru berpandu dan dron pada 13 April lalu.

"Sekatan itu menyasarkan pemimpin dan entiti yang berkaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam, Kementerian Pertahanan Iran, dan program peluru berpandu dan dron kerajaan Iran yang membolehkan serangan ini.

"Sekutu dan rakan kongsi kami sudah atau akan mengeluarkan sekatan dan langkah tambahan untuk menyekat program ketenteraan Iran yang tidak stabil," katanya.

Kenyataan Jabatan Perbendaharaan AS berkata, melalui tindakan sekatan itu, ia menyasarkan 16 individu dan dua entiti yang membolehkan pengeluaran UAV Iran, termasuk jenis enjin yang menggerakkan UAV varian Shahed Iran, yang digunakan dalam serangan 13 April lalu.

Menurutnya, ia juga menetapkan lima syarikat dalam pelbagai bidang kuasa yang menyediakan bahan komponen untuk pengeluaran keluli kepada Syarikat Khuzestan Steel (KSC) Iran, salah satu pengeluar keluli terbesar Iran, atau membeli produk keluli KSC.

"Turut disasarkan ialah tiga anak syarikat pembuat kereta Iran, Bahman Group, yang dikatakan menyokong secara material Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

"Jabatan Perdagangan AS juga mengenakan kawalan baharu untuk menyekat akses Iran kepada teknologi, seperti mikroelektronik gred komersial asas," katanya.

Iran melancarkan serangan ke atas Israel Sabtu lalu sebagai tidak balas terhadap serangan Israel di konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini. - REUTERS

Berita Harian X