Khamis, 18 April 2024 | 2:37pm
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini - Foto AFP
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini - Foto AFP

Pembubaran agensi bantuan kepada pelarian Palestin beri kesan jangka panjang

NEW YORK: Pembubaran Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) akan memberi kesan berpanjangan.

Tindakan itu juga menyebabkan status pelarian jutaan rakyat Palestin dilucutkan, menurut ketua agensi itu kepada Majlis Keselamatan semalam.

Philippe Lazzarini memberi amaran, bahawa pembubaran berkenaan juga meningkatkan tahap kebuluran di Gaza serta menjejaskan peralihan ketika gencatan senjata serta mulucutkan perkhidmatan penting yang diperlukan oleh mereka.

Katanya, akibat lain yang akan diterima oleh pelarian itu adalah daripada segi pembelajaran.

"Adalah mustahil dan menjadi satu tugas berat untuk membawa setengah juta kanak-kanak perempuan dan lelaki yang sangat tertekan kembali kepada pembelajaran.

"Kegagalan untuk menyampaikan pendidikan akan menghukum seluruh generasi untuk berputus asa, menyemarakkan kemarahan, kebencian serta keganasan yang tidak berkesudahan," katanya.

Jordan meminta untuk mengadakan mesyuarat majlis berkenaan sebagai tindak balas kepada percubaan berterusan pihak berkuasa Israel untuk memaksa agensi itu keluar dari Gaza.

Mesyuarat itu bermula dengan senyap selama satu minit sebagai simbolik penghormatan kepada 178 kakitangan UNRWA yang terkorban semasa perang di Gaza.

Agensi itu berdepan cabaran besar bukan sahaja dalam usahanya untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada orang awam Palestin di Gaza, tetapi juga dalam memastikan ia dapat meneruskan operasinya.

Lebih daripada 163 pemasangan UNRWA di Semenanjung Gaza rosak ketika perang antara Israel dan Palestin dan hanya sembilan daripada 24 kemudahan penjagaan kesihatannya yang masih beroperasi.

Sementara itu, agensi itu berada dalam kedudukan kewangan yang tidak menentu untuk beberapa ketika, sebahagiannya disebabkan oleh keputusan beberapa negara penderma utama untuk menangguhkan pembiayaan yang mereka sediakan untuk agensi itu, sehingga mengancam agensi itu untuk menghentikan operasinya.

Beberapa negara menangguhkan sumbangan mereka selepas pihak berkuasa Israel mendakwa pada Januari, tanpa memberikan sebarang bukti sokongan, bahawa 12 pekerja UNRWA memainkan peranan dalam serangan 7 Oktober oleh Palestin. - AGENSI

Berita Harian X