Rabu, 17 April 2024 | 1:20pm
Donald Trump. - Foto REUTERS
Donald Trump. - Foto REUTERS

7 juri dipilih dalam bicara kes wang sogok dihadapi Trump

NEW YORK: Tujuh juri semalam dipilih dalam perbicaraan kes wang sogok Donald Trump di New York, perbicaraan jenayah pertama terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Wakil pendakwaan dan pembelaan serta Hakim Juan Merchan, menemu bual beberapa calon juri sebelum bersetuju dengan tujuh juri pada Selasa, selepas tiada calon dipilih pada hari pertama. Pencarian lima lagi juri boleh berterusan selama beberapa hari lagi.

Trump, yang mengetuai empayar perniagaan hartanah, didakwa dengan 34 tuduhan memalsukan rekod perniagaan sebagai sebahagian daripada skema yang melibatkan bekas peguamnya Michael Cohen untuk menyembunyikan bayaran AS$130,000 yang dibuat kepada bintang filem lucah Stormy Daniels.

Daniels berkata wang itu diberikan untuk menutup mulut mengenai hubungan sulit beliau dengan Trump pada 2006. Beliau telah mengaku membayarnya menjelang pilihan raya presiden 2016 untuk menghentikan "tuduhan palsu dan peras ugut" tetapi menafikan sebarang pertemuan seksual.

Trump yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu, berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun jika sabit kesalahan.

Menurut mahkamah, perbicaraan boleh berlangsung sehingga lapan minggu sebaik sahaja juri dipilih.

Peguam Trump cuba sehingga ke saat akhir untuk mengelak, menangguhkan atau sekurang-kurangnya melewatkan perbicaraan itu. Walaupun selepas sabitan dan dijatuhi hukuman penjara dalam kes itu, Trump masih berpeluang bertanding dalam pilihan raya presiden.

Beliau juga menghadapi tiga lagi perbicaraan jenayah serta beberapa saman sivil.

Trump dari parti Republikan dan Presiden AS Joe Biden dari Demokrat dipilih sebagai calon Pilihan Raya Presiden AS, pada November.

Perbicaraan dijadual bersambung esok.

Berita Harian X