Rabu, 17 April 2024 | 10:52am
Majlis Keselamatan PBB undi keanggotaan penuh Palestin esok. - Foto fail AGENSI
Majlis Keselamatan PBB undi keanggotaan penuh Palestin esok. - Foto fail AGENSI

Majlis Keselamatan PBB undi keanggotaan penuh Palestin esok

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi esok berhubung permohonan Palestin untuk menjadi negara anggota penuh, menurut beberapa sumber diplomatik.

Di tengah-tengah serangan Israel di Gaza, rakyat Palestin pada awal bulan ini membangkitkan semula permohonan keanggotaan yang pertama kali dibuat kepada badan dunia itu pada 2011.

Bagaimanapun permohonan dulu itu dibantah Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto terhadap cadangan berkenaan.

Perhimpunan Agung boleh menerima negara anggota baharu dengan undi majoriti dua pertiga, tetapi hanya selepas Majlis Keselamatan memberikan cadangannya.

Blok serantau Kumpulan Arab mengeluarkan kenyataan semalam yang mengesahkan "sokongan tidak berbelah bahagi" untuk permohonan Palestin.

"Keanggotaan dalam PBB adalah langkah penting ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi persoalan Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Algeria, anggota Majlis Keselamatan tidak tetap, telah merangka resolusi yang "mengesyorkan" kepada Perhimpunan Agung "Negara Palestin diterima sebagai anggota PBB."

Undian pada esok akan bertepatan dengan mesyuarat Majlis Keselamatan dijadualkan beberapa minggu lalu bagi membincangkan situasi di Gaza, yang dijangka dihadiri menteri dari beberapa negara Arab.

Rakyat Palestin, yang mempunyai status pemerhati di PBB sejak 2012 telah melobi selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keanggotaan penuh.

"Kami memohon kemasukan. Itu hak kami," kata Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour.

Menurut Palestin, 137 daripada 193 negara anggota PBB sudah mengiktiraf mereka sebagai sebuah negara, sekali gus menimbulkan harapan permintaan mereka akan disokong dalam Perhimpunan Agung.

Bagaimanapun desakan Palestin untuk menjadi ahli PBB menghadapi halangan besar, kerana AS, sekutu terdekat Israel boleh menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang cadangan Majlis Keselamatan.

"Kami menyeru ahli Majlis Keselamatan untuk mengundi memihak kepada draf resolusi... sekurang-kurangnya, kami anggota Majlis untuk tidak menghalang inisiatif kritikal ini," kata Kumpulan Arab semalam.

AS telah menyuarakan bantahannya terhadap keanggotaan penuh Palestin, mengatakan ia menyokong kenegaraan tetapi hanya selepas rundingan dengan Israel.

Hamas melancarkan serangan tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Israel pada 7 Oktober mengakibatkan kematian 1,170 orang di Israel.

Serangan balas Israel telah membunuh lebih 33,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Berita Harian X