Isnin, 15 April 2024 | 7:42am
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP

Asia Barat, dunia tidak 'mampu lebih banyak peperangan' - Guterres

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa supaya tidak terbabit dengan konflik yang lebih mendalam susulan serangan dron dan peluru berpandu Iran ke atas Israel.

"Baik di rantau mahupun dunia tidak mampu melakukan lebih banyak peperangan.

"Asia Barat berada di ambang, rakyat di rantau ini sedang berhadapan dengan bahaya sebenar konflik berskala penuh yang memusnahkan. Sekarang adalah masa untuk meredakan dan mengurangkan keburukan," kata Guterres kepada Majlis Keselamatan semalam.

Sabtu lalu, Iran melancarkan serangan terus ke atas musuhnya, Israel buat kali pertama dengan melancarkan lebih 300 peluru berpandu dan dron.

Hampir semua peluru berpandu dan dron itu dipintas oleh Israel, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jordan dan Britain.

Menurut tentera Israel, seramai 12 orang cedera dalam serangan itu.

Iran berkata, serangan berkenaan sebagai tindak balas kepada serangan udara pada 1 April ke atas bangunan konsulat Tehran di ibu negara Syria, Damsyik yang dipersalahkan secara meluas ke atas Israel.

Serangan itu membunuh tujuh Pengawal Revolusi Iran, termasuk dua jeneral kanan, dan mencetuskan ancaman balas Iran.

Peperangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini menandakan peningkatan besar antara kedua-dua negara, mencetuskan kebimbangan baharu mengenai konflik yang lebih luas, termasuk potensi untuk serangan balas Israel.

AS pada Ahad berkata, pihaknya tidak akan menyertai sebarang serangan balas Israel ke atas Iran, dengan Presiden Joe Biden memberi amaran kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk 'berfikir dengan teliti'. - AFP

Berita Harian X