Ahad, 14 April 2024 | 2:46pm
Objek yang dilihat di ruang udara Baitulmaqdis selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS
Objek yang dilihat di ruang udara Baitulmaqdis selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS

Israel minta UNSC adakan mesyuarat tergempar susulan serangan Iran

WASHINGTON: Perwakilan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini meminta satu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) diadakan berikutan serangan udara Iran ke atas Israel.

"Saya mengesahkan permintaan Israel untuk mengadakan satu mesyuarat UNSC dengan segera untuk mengutuk Iran atas serangan itu dan menamakan Pengawal Revolusi Iran (IRG) sebagai pertubuhan pengganas," kata Dutanya, Gilad Erdan, dalam hantaran di laman X, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata, Iran melancarkan serangan terus dari wilayahnya ke atas Israel, yang jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Perwakilan Tetap Malta di PBB yang juga Presiden UNSC untuk April berkata mereka dijangka mengadakan mesyuarat itu pada jam 4 petang Ahad waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu, pegawai Iran berkata, tindak balas negara itu terhadap serangan Israel ke atas konsulat mereka di Damsyik adalah tepat dan terhad.

Menurut TV kerajaan, peluru Iran berjaya mencapai sasaran tentera tetapi itu sudah tentu dipertikaikan oleh Israel.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar negaranya akan mencapai kemenangan selepas tenteranya mendakwa menembak jatuh hampir kesemua lebih 300 dron dan peluru berpandu dilancarkan oleh Iran.

Tentera Israel mendakwa pasukannya menembak jatuh lebih daripada 99 peratus dron dan peluru berpandu Iran dan sedang membincangkan pilihan susulan.

Objek dilihat di ruang udara Amman, Jordan selepas Iran melancarkan dron ke arah Israel. - Foto REUTERS
Objek dilihat di ruang udara Amman, Jordan selepas Iran melancarkan dron ke arah Israel. - Foto REUTERS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang bercakap melalui telefon dengan Netanyahu, berkata beliau akan mengadakan mesyuarat pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) ekonomi utama untuk menyelaraskan tindak balas diplomatik terhadap serangan Iran.

Agensi berita Iran, Fars memetik sumber sebagai berkata Tehran memerhati Jordan dengan teliti, yang mungkin menjadi sasaran seterusnya jika ada petanda ia menyokong Israel.

Kesatuan Eropah, Britain, Jepun, Republik Czech, Denmark, Perancis, Mexico, Belanda dan Norway mengutuk serangan Iran.

Tentera AS) sedang menggerakkan lebih banyak aset ketenteraan ke Asia Barat ketika ia menjangkakan tindak balas Iran terhadap serangan Israel ke atas konsulat di Syria.

Seorang pegawai pertahanan AS memberitahu Al-Jazeera, langkah itu bertujuan terutamanya bagi memberi perlindungan yang lebih baik kepada tentera AS di rantau berkenaan, selain untuk meningkatkan pencegahan serantau.

Media AS mengesahkan langkah itu, namun Pentagon tidak secara rasmi menyatakan jenis aset yang digerakkan ke rantau berkenaan.

The Wall Street Journal memetik pegawai AS yang tidak dinamakan pada Jumaat, ia termasuk meletakkan semula dua kapal pemusnah, dengan salah satu kapal perang sudah berada di wilayah itu dan satu lagi dilencongkan ke sana. - AGENSI

Berita Harian X