Jumaat, 12 April 2024 | 10:59am
Orang ramai membanjiri perarakan pengebumian tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRG) termasuk dua jeneral, yang terbunuh dalam serangan Israel di Syria. - Foto AFP
Orang ramai membanjiri perarakan pengebumian tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRG) termasuk dua jeneral, yang terbunuh dalam serangan Israel di Syria. - Foto AFP

Jeneral AS berusaha elak perang Israel-Iran - Pentagon

WASHINGTON: Komander tertinggi Amerika Syarikat (AS) untuk Asia Barat kini berada di Israel bagi berbincang dengan pegawai tentera negara itu mengenai ancaman keselamatan susulan kemungkinan Iran melancarkan serangan.

Pentagon berkata, lawatan itu dibuat ketika kebimbangan memuncak bahawa Iran akan bertindak balas selepas Israel membunuh tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRG) termasuk dua jeneral, di Syria, awal bulan ini.

Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder berkata, Jeneral Erik Kurilla berada di Israel untuk bertemu dengan kepimpinan utama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagi membincangkan ancaman keselamatan semasa di rantau itu.

Ryder berkata pertemuan itu dipercepatkan disebabkan perkembangan terkini yang menyaksikan Iran secara terbuka mengisytiharkan akan membalas dendam.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran bahawa Israel mesti dihukum dan pasti akan dihukum.

Pada masa sama, Presiden AS, Joe Biden, berikrar akan memberi sokongan padu kepada sekutu utama serantaunya itu jika diserang.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin pula bertemu dengan rakan sejawatnya dari Israel, Yoav Gallant, yang memberitahu ketua Pentagon bahawa serangan langsung Iran akan memerlukan tindak balas Israel yang bersesuaian.

Kedua-dua negara turut membincangkan kesediaan awal berdepan serangan Iran ke atas Israel selain mempertingkatkan aspek keselamatan kepentingan AS di Asia Barat.

Gallant turut menekankan bahawa Israel tidak akan bertolak ansur dengan serangan Iran ke atas wilayahnya dan sedia berperang jika itu yang dikehendaki Iran.

"Austin memberi jaminan kepada Gallant bahawa Israel boleh mengharapkan sokongan penuh AS untuk mempertahankan Israel daripada serangan Iran, yang diancam oleh Tehran secara terbuka," katanya.

AS menjangkakan serangan Iran terhadap Israel pasti berlaku, namun tidak cukup besar untuk mengheret Washington untuk turut serta dalam peperangan itu.

Sebelum ini, Rumah Putih berkata, Washington tidak mahu konflik merebak di Asia Barat dan memberitahu Iran bahawa ia tidak terbabit dalam serangan udara terhadap seorang komander tentera tertinggi Iran di Damsyik.

Rumah Putih menambah, ia turut memberi amaran kepada Iran supaya tidak menggunakan serangan itu sebagai alasan untuk meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Tehran memberi isyarat kepada Washington bahawa ia akan bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas kedutaannya di Syria, namun tidak akan bertindak tergesa-gesa, kerana Tehran turut mendesak tuntutan lain termasuk gencatan senjata di Gaza.

AS berada dalam keadaan berjaga-jaga berhubung kemungkinan serangan balas daripada Iran dan utusan negara itu berusaha meredakan ketegangan. - AFP

Berita Harian X