Jumaat, 12 April 2024 | 10:16am
Nyamuk Aedes Aegypti.
Nyamuk Aedes Aegypti.

Kematian akibat denggi di Peru naik 3 kali ganda

LIMA: Kematian akibat demam denggi meningkat lebih tiga kali ganda di Peru pada tahun ini, menurut data kerajaan negara Amerika Selatan itu, yang menggandakan usaha membendung wabak yang melanda kawasan golongan miskin.

Kerajaan Presiden Dina Boluarte minggu ini berkata ia telah meluluskan 'perintah kecemasan' membenarkan langkah ekonomi luar biasa untuk menyokong rancangan menangani wabak itu, yang menurut pakar diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Gejala ringan termasuk loya, ruam dan sakit badan, manakala gejala lebih teruk yang jarang berlaku, berpotensi mengancam bayi dan wanita hamil, boleh menyebabkan pendarahan dalaman, malah membawa maut.

Kementerian kesihatan Peru berkata setakat Khamis, terdapat 117 kematian akibat denggi setakat tahun ini berbanding 33 kes dalam tempoh sama pada 2023.

Kes yang disyaki juga meningkat lebih tiga kali ganda sehingga mencecah 135,000 kes.

Pegawai kesihatan sejak kebelakangan ini melakukan semburan racun nyamuk di kawasan kejiranan miskin di seluruh ibu negara, Lima, termasuk di tanah perkuburan di mana nyamuk didapati membiak dalam air terkumpul dalam pasu.

Pakar berkata, angka di Peru membimbangkan kerana ia menunjukkan keupayaan nyamuk Aedes Aegypti yang membawa wabak denggi itu merebak ke kawasan yang belum pernah ia sampai sebelum ini.

Ahli epidemiologi Universiti Lima, Augusto Tarazona, berkata jumlah kes tertinggi dicatatkan di bahagian pantai dan utara negara, termasuk Lima.

"Nyamuk telah menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan membiak pada kadar yang lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Mengambil kira saiz populasi masing-masing, Tarazona berkata dengan kadar kejadian 330.27 kes bagi setiap 100,000 orang, Peru menyaksikan kedua-dua jangkitan dan kadar kematian yang lebih tinggi berbanding di Brazil atau Argentina.

"Kami berada dalam keadaan kritikal di Amerika Latin," katanya. - REUTERS

Berita Harian X