Jumaat, 12 April 2024 | 9:49am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (tengah) bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kanan) dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada sidang media sempena sinag kemuncak tiga hala di Rumah Putih di Washington, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (tengah) bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kanan) dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada sidang media sempena sinag kemuncak tiga hala di Rumah Putih di Washington, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Biden ikrar pertahan Filipina, Jepun daripada ancaman China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berikrar mempertahankan Filipina dan Jepun daripada sebarang serangan atau ancaman di Laut China Selatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selaku tuan rumah sidang kemuncak pertama bersama Tokyo dan Manila, ketika ketegangan membabitkan Beijing memuncak di perairan Asia Tenggara dan Asia Pasifik itu.

"Komitmen AS kepada Jepun dan Filipina adalah kukuh, kita akan bantu pertahanan mereka sekiranya ada sebarang ancaman di perairan masing-masing," katanya.

Biden berkata demikian ketika bertemu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, di sini semalam.

Sidang kemuncak di Rumah Putih diadakan di tengah-tengah konfrontasi berulang antara kapal China dan Filipina yang menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas di Laut China Selatan.

"Sebarang serangan ke atas pesawat, kapal atau angkatan tentera Filipina di Laut China Selatan akan mendorong kami menggerakkan perjanjian pertahanan bersama kami," katanya.

China semakin agresif menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dengan mengetepikan tuntutan bertindih beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina selain enggan mematuhi keputusan Mahkamah Timbang tara Antarabangsa.

Ketegangan sedia ada ditambah pula tuntutan China ke atas Taiwan, mendorong Biden untuk meningkatkan pakatan keselamatan di rantau itu.

Marcos Jr lebih rapat dengan Washington berbanding pendahulunya, Rodrigo Duterte, yang lebih memihak kepada China.

Katanya, mereka berkongsi 'komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada perintah antarabangsa berasaskan peraturan' dalam mempertahankan hak kawasan perairan mereka .

Kishida pula berkata, kerjasama pelbagai lapisan adalah penting dan pertemuan itu akan mencipta sejarah kerana mewujudkan kestabilan dan keselamatan di kawasan perairan.

Tanpa menyebut nama China secara terbuka, AS, Jepun dan Filipina menampilkan kerjasama mereka sebagai teras keamanan dan demokrasi di ratau asia Pasifik, berbanding pendekatan agresif Beijing.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, Washington dan Tokyo menyerang China dalam isu Taiwan dan maritim, campur tangan dalam hal ehwal dalaman China dan secara serius melanggar norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa.

AS mempunyai pakatan pertahanan bersama dengan Manila, namun terdapat kebimbangan ia boleh diuji dengan ketegangan yang semakin meruncing di sekitar Beting Thomas Kedua, sebuah terumbu terpencil di Kepulauan Spratly.

Biden berkata peningkatan besar dalam hubungan pertahanan dengan Jepun adalah 'untuk pertahanan semata-mata' dan tidak ditujukan kepada mana-mana negara atau ancaman kepada rantau itu. - AFP

Berita Harian X