Rabu, 10 April 2024 | 8:28am
Seorang budak lelaki berdiri di tepi runtuhan bangunan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang budak lelaki berdiri di tepi runtuhan bangunan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Biden berkata Netanyahu membuat 'kesilapan' di Gaza

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata dasar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Gaza adalah satu 'kesilapan' dan menggesa Israel setuju untuk gencatan senjata, dalam satu wawancara yang disiarkan Selasa.

Komen Biden adalah sebahagian daripada kritikannya yang paling kuat terhadap Netanyahu di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat mengenai jumlah kematian orang awam akibat perang Israel ke atas Hamas dan keadaan teruk di Gaza.

"Saya rasa apa yang dia lakukan adalah satu kesilapan. Saya tidak bersetuju dengan pendekatannya," kata Biden kepada Univision, rangkaian TV berbahasa Sepanyol di AS, apabila ditanya mengenai pengendalian perang oleh Netanyahu.

Biden mengulangi bahawa serangan dron Israel minggu lalu yang membunuh tujuh pekerja bantuan dari badan amal yang berpangkalan di AS di Gaza adalah 'keterlaluan'.

"Jadi, apa yang saya gesa ialah Israel melakukan gencatan senjata, membenarkan untuk enam hingga lapan minggu akan datang, akses penuh kepada semua makanan serta ubat-ubatan masuk ke negara itu," katanya.

Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Kenyataan beliau mengenai gencatan senjata menandakan peralihan daripada pendirian beliau sebelum ini, di mana beliau berkata beban terletak pada Hamas untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Biden juga meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza yang musnah, dengan mengatakan dia telah bercakap dengan Arab Saudi, Jordan dan Mesir, yang 'bersedia untuk menghantar makanan ini'.

"Tiada alasan untuk tidak menyediakan keperluan perubatan dan makanan untuk mereka di gaza. Ia sepatutnya dilakukan sekarang," katanya.

Wawancara Biden menggariskan peralihan dramatik dasar Israelnya sejak pembunuhan pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) di Gaza mencetuskan kemarahan global.

Hubungan kekal tegang apabila Netanyahu menegaskan bahawa dia telah menetapkan tarikh untuk serangan besar ke atas Rafah di sempadan Mesir yang ditentang keras oleh Washington.

Ahli keluarga beberapa tebusan AS yang diculik oleh Hamas semasa serangan bertemu Naib Presiden, Kamala Harris di Rumah Putih semalam, ketika rundingan untuk perjanjian diteruskan. - AFPcaw

Berita Harian X