Sabtu, 6 April 2024 | 9:02am
Penduduk dan polis berkumpul di luar rumah yang rosak struktur dan terpaksa dipindahkan selepas New York City dan sebahagian New Jersey mengalami gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Penduduk dan polis berkumpul di luar rumah yang rosak struktur dan terpaksa dipindahkan selepas New York City dan sebahagian New Jersey mengalami gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Gempa bumi magnitud 4.8 landa wilayah New York City

NEW YORK: Gempa bumi magnitud 4.8 melanda berhampiran New York City di Amerika Syarikat (AS), semalam di kawasan yang jarang mengalami aktiviti seismik begitu ketara.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), kejadian itu menggegarkan bangunan di Pantai Timur dan mengejutkan penduduk setempat.

Pusat gempa dikesan berada di Tewksbury di tengah New Jersey, kira-kira 64 kilometer (km) ke barat New York City.

Ia berlaku sejurus selepas jam 10.20 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 4.7km dan beberapa gegaran susulan turut dirasai termasuk yang berkuran empat pada skala Richter sekitar jam 5.59 petang waktu tempatan, menurut USGS.

Tiada kerosakan besar dilaporkan, tetapi pasukan kejuruteraan sedang memeriksa jalan dan jambatan.

"Ini adalah antara gempa bumi terbesar di Pantai Timur sejak seabad yang lalu," kata Gabenor New York, Kathy Hochul, pada sidang akhbar.

Datuk Bandar New York City, Eric Adams, berkata tiada kecederaan dilaporkan tetapi menggesa penduduk bandar untuk berlindung di bawah meja, di pintu atau di sebelah dinding dalaman jika mereka merasakan gegaran susulan.

Sementara itu, Datuk Bandar Lebanon, New Jersey, berhampiran pusat gempa, James Pittinger, berkata tiada laporan kecederaan atau kerosakan yang ketara tetapi ia adalah suatu yang mengejutkan.

Presiden AS, Joe Biden, dalam perbualan telefon dengan Gabenor New Jersey, Phil Murphy, mengenai gempa bumi itu menjanjikan bantuan jika diperlukan, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Penerbangan dari lapangan terbang di kawasan dilanda gempa bumi dihentikan sementara tetapi disambung semula pada 12.30 tengah hari, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), bagaimanapun kelewatan dijangkakan.

Gegaran semalam adalah yang terbesar dirasai di bandar itu sejak gempa bumi pada 2011 berukuran 5.8 pada skala Richter di Virginia, yang mendorong pengosongan Dewan Bandaraya dan bangunan lain serta menyebabkan kerosakan di Washington. - REUTERS

Berita Harian X