Khamis, 4 April 2024 | 8:33am
Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour (tengah) ketika salah satu sesi persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto REUTERS
Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour (tengah) ketika salah satu sesi persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto REUTERS

Palestin terus desak undi iktiraf negaranya anggota penuh PBB

NEW YORK: Delegasi Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak undian dijalankan bagi mengiktiraf negara berdaulat itu sebagai anggota penuh PBB bulan ini.

Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, semalam berkata ia sudah pasti menjadi satu langkah yang ditentang oleh Amerika Syarikat (AS).

"Kami sedang berusaha untuk diterima. Itu adalah hak semula jadi dan termaktub dalam undang-undang.

"Semua orang bercakap mengenai penyelesaian dua negara, maka apakah logiknya untuk menafikan kami menjadi negara anggota?" katanya sambil menggesa proses undian dijalankan pada 18 April di Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Mengikut aturan, sebarang permintaan untuk menjadi negara anggota PBB mesti terlebih dahulu diluluskan undi oleh UNSC, di mana sekutu Israel iaitu AS dan empat negara lain boleh menggunakan kuasa vetobagi menolaknya.

Kemudiannya, barulah permohonan sesebuah negara itu akan disahkan oleh majoriti dua pertiga anggota dalam Perhimpunan Agung PBB.

Sejak 2011 lagi, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, sudah mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota penuh PBB, namun ia tidak dipertimbangkan oleh UNSC.

Bagaimanapun, pada Perhimpunan Agung PBB tahun berikutnya, Palestin diberikan status pemerhati, yang peranannya jauh lebih terhad.

Kelmarin, Pihak Berkuasa Palestin menyerahkan surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, meminta UNSC menimbang semula permohonan negara itu.

Riyad membuat kenyataan permohonan Palestin ketika AS semalam menyuarakan bantahannya terhadap Palestin untuk menjadi negara anggota penuh PBB, selepas rundingan dengan Israel.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata pihaknya sememangnya menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, namun perlu berunding dengan pihak tertentu terlebih dahulu.

"Ini sesuatu yang harus dilakukan melalui rundingan terus dengan pihak tertentu.

"Ia sesuatu yang kita sedang kejar pada masa ini dan bukan masanya untuk dibawa ke PBB," katanya tanpa menjelaskan tindakan AS sama ada akan veto undian itu atau sebaliknya ketika mahu membuat keputusan di UNSC.

Tambah Miller, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, terbabit secara aktif untuk mewujudkan jaminan keselamatan buat Israel sebagai sebahagian daripada asas untuk pembentukan negara Palestin.

Ketika ini, pentadbiran AS diterajui Presiden Joe Biden semakin menunjukkan sokongan penuh untuk penubuhan Palestin. - AFP

Berita Harian X