Sabtu, 30 March 2024 | 11:40am
Bebola api menerangi suasana malam di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, susulan serangan Israel. - Foto AFP
Bebola api menerangi suasana malam di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, susulan serangan Israel. - Foto AFP

AS setuju hantar lebih banyak bom, pesawat perang ke Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membenarkan penghantaran bom dan jet pejuang bernilai berbilion dolar ke Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pemindahan itu dilakukan walaupun ketika Washington secara terbuka menyatakan kebimbangan mengenai tindakan tentera Israel yang dijangka menyerang Rafah.

Malah, buat pertama kali AS berpendirian berkecuali ketika pengundian usul menggesa gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) awal minggu ini, yang menyaksikan baki 14 anggota menyokong.

Menurut sumber yang mengesahkan laporan di Washington Post, pakej senjata baharu itu termasuk lebih 1,800 bom MK84 2,000 paun dan 500 bom MK82 500 paun,

Washington memberikan AS$3.8 bilion (RM18 bilion) bantuan ketenteraan kepada sekutu lamanya, Israel, secara tahunan.

Wanita dan kanak-kanak menyelamatkan saki baki barangan yang tidak musnah dari celah runtuhan selepas Israel membedil dan memusnahkan kediaman mereka di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Wanita dan kanak-kanak menyelamatkan saki baki barangan yang tidak musnah dari celah runtuhan selepas Israel membedil dan memusnahkan kediaman mereka di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pakej itu dihantar ketika Israel menghadapi kritikan antarabangsa yang kuat berhubung kempen pengeboman berterusan dan serangan darat di Gaza dan ketika beberapa anggota parti Presiden AS, Joe Biden, mendesaknya untuk hentikan bantuan ketenteraan AS.

Biden semalam mengakui 'kesakitan yang dirasai' oleh ramai orang Arab AS berhubung perang di Gaza dan atas sokongan AS untuk Israel dan serangan tenteranya.

Namun, beliau berikrar memberikan sokongan berterusan untuk Israel walaupun perselisihan umum dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin meningkat.

Rumah Putih enggan mengulas mengenai pemindahan senjata itu manakala Kedutaan Israel di Washington tidak memberikan sebarang komen.

Keputusan mengenai senjata itu dibuat susulan lawatan ke Washington oleh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang membincangkan keperluan senjata Israel dengan rakan sejawatan di AS.

Bercakap kepada pemberita pada Selasa, Gallant, berusaha meredakan ketegangan AS-Israel.

Beliau menekankan kepentingan hubungan AS terhadap keselamatan negaranya dan mengekalkan 'kelebihan ketenteraan' Israel di rantau itu, termasuk keupayaan udaranya. - REUTERS

Berita Harian X