Jumaat, 29 March 2024 | 12:56pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Empat sekolah terbesar di Kanada saman TikTok, Meta, SnapChat

TORONTO: Empat lembaga sekolah terbesar di Ontario, Kanada mengambil tindakan undang-undang terhadap TikTok, Meta dan SnapChat dengan mendakwa platform media sosial itu mengganggu proses pembelajaran.

Tuntutan undang-undang itu mendakwa platform seperti Facebook dan Instagram "direka untuk kegunaan kompulsif dan menyusun semula cara kanak-kanak berfikir, berkelakuan dan belajar serta guru dibiarkan untuk menguruskan akibatnya."

Meta Platforms Inc. memiliki Facebook dan Instagram, manakala SnapChat dan TikTok masing-masing dimiliki oleh Snap Inc dan ByteDance Ltd.

Pemegang amanah untuk Lembaga Sekolah Daerah Toronto, Rachel Chernos, berkata guru dan ibu bapa menyedari pelajar kurang bersosial, mengalami kebimbangan, masalah perhatian, buli siber dan isu kesihatan mental.

"Syarikat-syarikat ini secara sedar mencipta program yang ditujukan dan dipasarkan kepada golongan muda dan ia menyebabkan kemudaratan ketara dan kami tidak boleh berdiam diri serta tidak bercakap mengenainya," katanya.

Puluhan negeri di Amerika Syarikat (AS), termasuk California dan New York, turut menyaman Meta Platforms Inc kerana mendatangkan keburukan kepada golongan muda dan menyumbang kepada krisis kesihatan mental remaja.

Mereka mendakwa reka bentuk ciri di Instagram dan Facebook secara sedar dan sengaja menyebabkan kanak-kanak ketagih kepada platform berkenaan.

Lembaga sekolah di Kanada yang memfailkan saman ialah Lembaga Sekolah Daerah Toronto, Lembaga Sekolah Daerah Peel, Lembaga Sekolah Daerah Katolik Toronto dan Lembaga Sekolah Daerah Ottawa-Carleton.

Mereka menuntut ganti rugi melebihi AS$2.9 bilion (RM13.67 bilion) kerana gangguan pembelajaran pelajar dan sistem pendidikan.

Jurucakap Snap Inc, Tonya Johnson, berkata Snapchat membantu penggunanya untuk kekal berhubung dengan rakan mereka.

Wakil Meta dan ByteDance bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.

Peguam yang mewakili lembaga pengarah, Duncan Embury berkata, terdapat isu ketagihan sebenar dengan algoritma yang direka.

Embury berkata amaran yang sewajarnya diperlukan, parameter umur perlu diubah dan perlu ada peningkatan dalam tahap sumber yang boleh diterima oleh lembaga sekolah untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

Beliau berkata syarikat itu secara sedar dan cuai mereka bentuk produk untuk memaksimumkan jumlah masa yang diluangkan oleh golongan muda di platform mereka dengan mengorbankan kesejahteraan dan pendidikan mereka.

"Terdapat ketidakupayaan untuk pelajar memberi tumpuan," katanya.

Hampir semua remaja berumur 13 hingga 17 tahun di AS melaporkan menggunakan platform media sosial, dengan kira-kira satu pertiga mengatakan mereka menggunakan media sosial "hampir setiap masa," menurut Pusat Penyelidikan Pew.

Pada Mei, pakar bedah Amerika Syarikat Dr Vivek Murthy menggesa syarikat teknologi, ibu bapa dan penjaga untuk mengambil "tindakan segera bagi melindungi kanak-kanak" daripada bahaya media sosial.

Minggu ini, Gabenor Florida Republikan Ron DeSantis menandatangani rang undang-undang yang akan mengharamkan akaun media sosial untuk kanak-kanak di bawah 14 tahun dan memerlukan kebenaran ibu bapa untuk kanak-kanak berumur 14 dan 15 tahun.

Ia berkuat kuasa 1 Januari dan dijangka menghadapi cabaran undang-undang.

Berita Harian X