Khamis, 28 March 2024 | 2:49pm
Wabak berkenaan pada masa ini tidak dijangka mengancam bekalan tenusu komersial negara. - Foto AFP/Getty Images
Wabak berkenaan pada masa ini tidak dijangka mengancam bekalan tenusu komersial negara. - Foto AFP/Getty Images

Selesema burung dikesan pada lembu tenusu di Amerika Syarikat

HOUSTON: Pihak berkuasa penternakan Texas hari ini mendapati lembu di ladang tenusu di Texas dan Kansas, positif jangkitan selesema burung.

Pesuruhjaya Jabatan Pertanian Texas, Sid Miller, berkata pihaknya dan beberapa agensi dari negeri dan negara berkaitan sedang bertungkus-lumus untuk memastikan keselamatan bekalan makanan.

"Walaupun membimbangkan, wabak berkenaan pada masa ini tidak dijangka mengancam bekalan tenusu komersial negara.

"Bagaimanapun, ujian berkenaan tidak menemui sebarang perubahan pada virus yang akan menjadikannya lebih mudah ditularkan kepada manusia dan risiko kepada orang ramai adalah minimum.

"Usaha lanjut untuk meneruskan penyiasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk memastikan gambaran lengkap situasi itu dapat dinilai," katanya menerusi kenyataan.

Menurut data daripada Jabatan Pertanian AS, Texas adalah antara lima negeri pengeluar susu terbesar di AS.

Sid Miller berkata, sampel positif telah diambil daripada susu tidak dipasteurkan yang dikumpul dari dua ladang tenusu di Kansas dan satu di Texas, dengan analisis mengesahkan keputusan pada 25 Mac.

"Wabak berkenaan tidak dikesan dalam mana-mana lembu pedaging tetapi menggesa semua penternak untuk melaksanakan langkah biosekuriti yang dipertingkatkan di ladang mereka.

"Kami bekerjasama dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS dan agensi lain untuk menilai gejala dalam kalangan lembu tenusu yang lebih tua di Texas, Kansas dan New Mexico," katanya. - AFP

Berita Harian X