Selasa, 26 March 2024 | 3:14pm
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken (kiri) dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken (kiri) dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

AS bangkitkan isu serangan Rafah dengan ketua pertahanan Israel

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menentang operasi ketenteraan darat besar-besaran oleh Israel di Rafah, sewaktu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, di sini semalam.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan Israel cuma akan menjejaskan lagi kebajikan lebih 1.4 juta orang awam Palestin yang berlindung di wilayah berkenaan.

"Blinken menegaskan bahawa alternatif yang wujud kepada pencerobohan darat besar-besaran akan memastikan keselamatan Israel dan melindungi orang awam Palestin dengan lebih baik," katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersetuju menghantar delegasi ke Washington tetapi tiba-tiba membatalkannya selepas AS berkecuali dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menuntut gencatan senjata segera semasa Ramadan.

Keazaman Netanyahu untuk melancarkan operasi darat di Rafah, bandar di sempadan selatan Gaza di mana kebanyakan penduduk wilayah itu berlindung, menjadi titik perbalahan utama. 

Justeru, kata Miller, kedua-dua pihak juga akan membincangkan keperluan untuk segera meningkat serta mengekalkan bantuan kemanusiaan tambahan bagi memenuhi keperluan orang awam di Gaza.

Terdahulu, tindakan AS yang berpendirian berkecuali berhubung resolusi UNSC menggesa gencatan senjata segera di Gaza 'menyakitkan' Israel dari segi perang dan cubaan untuk membebaskan tebusan.

Menurut Pejabat Netanyahu, tindakan AS itu adalah pengunduran yang jelas daripada pendirian konsisten negara terbabit selama ini. - AFP

Berita Harian X