Isnin, 25 March 2024 | 10:49pm
CEO Boeing, Dave Calhoun. - Foto AGENSI
CEO Boeing, Dave Calhoun. - Foto AGENSI

CEO Boeing letak jawatan

NEW YORK: Boeing mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dave Calhoun akan meletakkan jawatan selepas berdepan beberapa siri insiden keselamatan dan isu pembuatan.

Syarikat itu dilanda masalah antaranya insiden pada Januari apabila panel fiuslaj jet Boeing 737 MAX 9 Alaska Airlines tercabut ketika penerbangan.

Walaupun tiada penumpang yang cedera parah, namun pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan.

Bulan lalu, Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) memberi Boeing 90 hari untuk menghasilkan pelan bagi menangani isu kawalan kualiti.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan kawal selia berkata syarikat itu mesti memberi komitmen kepada penambahbaikan yang nyata dan mendalam.

Selain insiden Alaska, berlaku kebakaran enjin pada Boeing 747 sejurus selepas berlepas dari Florida pada Januari lalu.

Awal bulan ini, sebuah pesawat Boeing 777 yang menuju ke Jepun terpaksa melakukan pendaratan kecemasan sejurus selepas berlepas dari San Francisco apabila sebuah roda terjatuh dan terjunam ke tempat letak kereta lapangan terbang, merosakkan beberapa kereta.

Minggu lalu pihak berkuasa New Zealand melancarkan siasatan selepas Boeing 787 Dreamliner kehilangan altitud ketika penerbangan dari Sydney ke Auckland dan mencederakan beberapa penumpang.

Calhoun, yang akan berundur pada penghujung tahun, berkata "kemalangan Penerbangan 1282 Alaska Airlines adalah detik penting untuk Boeing.

"Kita mesti terus bertindak balas terhadap kemalangan ini dengan rendah hati dan ketelusan yang lengkap," katanya. - AFP

Berita Harian X