Ahad, 24 March 2024 | 2:18pm
Anggota Pertahanan Awam membawa keluar kanak-kanak perempuan yang diselamatkan selepas lebih 12 jam terperangkap di bawah timbunan runtuhan rumahnya yang musnah akibat hujan lebat di Petropolis, Brazil. - Foto AFP
Anggota Pertahanan Awam membawa keluar kanak-kanak perempuan yang diselamatkan selepas lebih 12 jam terperangkap di bawah timbunan runtuhan rumahnya yang musnah akibat hujan lebat di Petropolis, Brazil. - Foto AFP

Tenggara Brazil dilanda hujan lebat, puluhan penduduk terbunuh

PETRÓPOLIS: Ribut kuat meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa di tenggara Brazil, terutama di bahagian pergunungan di negeri Rio de Janeiro.

Pihak berkuasa tempatan mengerahkan pasukan penyelamat untuk menangani keadaan kritikal sejak semalam, ketika bencana alam terus bertambah buruk.

Banjir itu berlaku ketika Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, mengalami cuaca melampau, yang menurut pakar, menjadi lebih ketara berkemungkinan disebabkan oleh perubahan iklim.

Kerajaan negeri berkata ribut itu menyebabkan sebuah rumah runtuh di bandar Petropolis, 70 kilometer (km) dari ibu negara, mengorbankan empat orang.

Pasukan AFP menyaksikan usaha menyelamatkan seorang gadis yang tertimbus lebih 16 jam dalam runtuhan.

"Bapa mangsa yang ditemui mati sambil merangkul bagi melindungi gadis dengan jasadnya," kata seorang penduduk tempatan kepada AFP.

Kematian lain dilaporkan sebelum ini di Santa Cruz da Serra, di mana seorang lelaki lemas apabila traknya terjunam ke dalam sungai manakala di Teresopolis, seorang penduduk mati dalam runtuhan rumah dan di Arraial do Cabo, seorang maut disambar petir.

Di Espirito Santo, pegawai melaporkan empat kematian dan di Sao Paolo, dua kanak-kanak berusia tiga dan sembilan tahun meninggal dunia pada Jumaat dalam kemalangan berasingan berkaitan ribut.

Lewat Jumaat, Gabenor Rio Claudio Castro berkata keadaan di Petropolis semakin kritikal disebabkan hujan lebat dan limpahan Sungai Quitandinha.

Orang ramai berdiri di sisi sisa runtuhan rumah akibat dilanda hujan lebat di Petropolis, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto REUTERS
Orang ramai berdiri di sisi sisa runtuhan rumah akibat dilanda hujan lebat di Petropolis, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto REUTERS

"Berpuluh-puluh askar dengan anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian, manakala sekolah membuka pintu mereka kepada mangsa banjir," katanya.

Kira-kira 90 orang berjaya diselamatkan sejak Jumaat, menurut buletin jawatankuasa kecemasan yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan pertahanan awam Rio.

Imej di media tempatan menunjukkan limpahan sungai, air lumpur dan sisa serpihan mengalir menuruni cerun di bandar Petropolis, di mana ribut pada Februari 2022 pernah meragut 241 nyawa.

Di bandar Mimoso do Sul, sebuah trak bomba dihanyutkan ke sebatang jalan oleh arus.

Menurut agensi ramalan cuaca, hujan lebat akan berterusan pada hujung minggu di kawasan pergunungan dan utara Rio.

Petropolis merekodkan 30 sentimeter (sm) hujan dalam 24 jam, manakala bandar lain, seperti Teresopolis dan Mage, mencatatkan purata hujan lebih 22sm, menurut anggaran rasmi.

Institut Meteorologi Kebangsaan meramalkan ribut teruk, khususnya di Rio, dengan taburan hujan 20sm sehari dari Jumaat hingga Ahad, di kawasan yang lazimnya menerima hujan sekitar 14sm sepanjang Mac.

Pihak berkuasa Rio telah mengisytiharkan cuti pentadbiran pada Jumaat susulan ribut semakin hampir dan menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah.

Ribut itu susulan gelombang haba mencatat rekod, selepas kadar kelembapan yang tinggi menyebabkan indeks haba melonjak melebihi 62 darjah Celsius. - AFP

Berita Harian X