Jumaat, 22 March 2024 | 7:37am
Imej dikeluarkan Massachusetts General Hospital di Boston menunjukkan pakar bedah menyediakan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik yang pertama di dunia kepada manusia yang masih hidup. - Foto AFP
Imej dikeluarkan Massachusetts General Hospital di Boston menunjukkan pakar bedah menyediakan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik yang pertama di dunia kepada manusia yang masih hidup. - Foto AFP

Pakar bedah AS pindah buah pinggang babi kepada pesakit, pertama di dunia

WASHINGTON: Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali berjaya memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit, satu prosedur yang boleh membantu menangani kekurangan kronik penderma organ.

Massachusetts General Hospital memaklumkan pembedahan selama empat jam itu dijalankan pada Sabtu ke atas seorang lelaki berusia 62 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir.

"Prosedur itu menandakan peristiwa penting dalam usaha untuk menyediakan lebih banyak organ yang tersedia kepada pesakit," kata hospital yang dikenali sebagai Mass General atau MGH itu dalam satu kenyataan semalam.

Kekurangan organ adalah masalah kronik di seluruh dunia dan hospital Boston berkata, di MGH saja, terdapat lebih 1,400 pesakit dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang.

"Harapan kami adalah pendekatan pemindahan ini akan menawarkan talian hayat kepada jutaan pesakit di seluruh dunia yang mengalami kegagalan buah pinggang," kata anggota pasukan pembedahan itu, Dr Tatsuo Kawai.

Hospital itu berkata, buah pinggang babi yang digunakan untuk pemindahan itu disediakan syarikat bioteknologi Massachusetts yang dipanggil eGenesis dan diubah secara genetik untuk membuang gen babi berbahaya dan menambah gen manusia tertentu.

"Ini mewakili sempadan baharu dalam bidang perubatan dan menunjukkan potensi kejuruteraan genom untuk mengubah kehidupan jutaan pesakit di seluruh dunia yang mengalami kegagalan buah pinggang," kata Ketua Pegawai Eksekutif eGenesis, Mike Curtis.

Hospital itu memaklumkan, pesakit terbabit, Richard Slayman dari Weymouth, Massachusetts, sedang pulih dengan baik di MGH dan dijangka dibenarkan keluar tidak lama lagi.

Beliau akan menjalani rejimen ubat imunosupresif untuk mengelakkan penolakan terhadap buah pinggang babi itu.

Slayman yang menghidap diabetes Jenis 2 dan hipertensi pernah menerima pemindahan buah pinggang manusia pada 2018 namun ia mula gagal lima tahun kemudian dan beliau menjalani dialisis.

Slayman berkata, beliau bersetuju dengan pemindahan buah pinggang babi itu sebagai "bukan saja cara untuk membantu saya tetapi memberikan harapan kepada ribuan orang yang memerlukan pemindahan buah pinggang untuk terus hidup."

Slayman berkulit hitam dan hospital berkata, prosedur itu boleh memberi manfaat khusus kepada etnik minoriti yang mengalami kadar penyakit buah pinggang yang tinggi.

Berita Harian X