Khamis, 21 March 2024 | 8:11am
Sebuah jengkaut membersihkan serpihan runtuhan ketika orang ramai memeriksa kesan runtuhan bangunan akibat serangan udara Israel di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac 2024. - Foto AFP
Sebuah jengkaut membersihkan serpihan runtuhan ketika orang ramai memeriksa kesan runtuhan bangunan akibat serangan udara Israel di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac 2024. - Foto AFP

Senator Demokrat AS gesa tindakan berani ke arah penubuhan negara Palestin

WASHINGTON: Lebih satu pertiga ahli Senat parti Demokrat semalam menggesa pentadbiran Presiden Joe Biden mengambil tindakan berani ke arah penubuhan sebuah negara Palestin, dalam usaha menolak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Surat kepada Biden itu dibuat beberapa hari selepas pemimpin majoriti Senat Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer, pegawai tertinggi Yahudi dalam kerajaan AS yang juga penyokong tegar Israel memberi isyarat yang mengejutkan dengan ucapannya mengkritik tindakan Netanyahu dalam perang Gaza, selain menggesa pilihan raya baharu Israel.

Seramai 19 Senator Demokrat diketuai Tom Carper, sekutu lama Biden dari negeri kelahirannya di Delaware, dalam surat itu menyatakan krisis Asia Barat sudah 'mencapai titik perubahan' yang memerlukan kepemimpinan AS melangkaui bantuan rundingan Israel-Palestin.

"Kami meminta pentadbiran Biden segera mewujudkan rangka kerja awam yang berani menggariskan langkah perlu untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza," tulis Senator dalam surat berkenaan.

Kumpulan Senator itu berkata, negara Palestin yang merdeka 'bukan bersifat ketenteraan', istilah yang sebelum ini digunakan bekas presiden AS, Bill Clinton dalam usaha damainya dua dekad lalu.

Selain itu, ia juga akan mengiktiraf Israel dan menyingkirkan penguasaan Hamas, yang mencetuskan serangan berdarah di Israel pada Oktober lalu.

Kumpulan Senator terbabit turut menggesa inisiatif keamanan serantau yang akan mengintegrasikan Israel, kiasan kepada percubaan berterusan untuk memujuk Arab Saudi menawarkan normalisasi dengan Israel.

Ia juga menjadi tumpuan dalam lawatan terbaru ke Arab Saudi oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Biden dan Blinken beberapa kali menyuarakan sokongan untuk penyelesaian dua negara namun tidak begitu banyak perkembangannya sebelum perang, menyedari Netanyahu dan kerajaan sayap kanannya membantah tegas idea itu.

"Langkah diplomatik yang anda dan pentadbiran anda ambil adalah sangat penting dan kami menggesa anda untuk melakukan lebih banyak lagi," tulis senator terbabit kepada Biden.

Senator lain yang menandatangani surat itu termasuk pemimpin nombor dua Demokrat, Dick Durbin; Senator dari Delaware, Chris Coons dan pemimpin kepercayaan Biden.

Nama Schumer tidak tertera pada surat itu, namun pemimpin itu turut menyuarakan sokongan untuk penyelesaian dua negara dalam ucapannya.

Berita Harian X