Selasa, 19 March 2024 | 2:29pm
Kakitangan perubatan mengusung keluar mayat mangsa pembunuhan oleh kumpulan penjenayah di Pétionville, Port-au-Prince, Haiti. - Foto AFP
Kakitangan perubatan mengusung keluar mayat mangsa pembunuhan oleh kumpulan penjenayah di Pétionville, Port-au-Prince, Haiti. - Foto AFP

10 terbunuh di pinggir Port-au-Prince, ketegangan mencengkam Haiti

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di pinggir bandar mewah di ibu kota Haiti, di mana rompakan didalangi kumpulan penjenayah berleluasa.

Infrastruktur bekalan elektrik turut menjadi sasaran pencuri, menyebabkan gangguan bekalan yang menyelubungi seluruh bandar di kawasan mewah dalam kegelapan, sekali gus meningkatkan kadar jenayah dan penguasaan kumpulan kongsi gelap.

Seorang saksi Reuters melihat sekurang-kurangnya 10 mayat bergelimpangan sekitar jalan mewah Petion-Ville di pinggir Port-au-Prince, dengan kesan tembakan pada badan sesetengah mangsa, yang kemudian dibawa keluar menaiki ambulans.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan ulasan mengenai tragedi yang meragut banyak nyawa itu.

Rakyat Haiti juga melaporkan tembakan dan rompakan pada pagi semalam turut berlaku di kawasan berhampiran Laboule, menyebabkan jalan sekitar Petion-Ville lengang.

Sementara itu, perkhidmatan elektrik, EDH, berkata beberapa stesennya diserang dengan kabel, bateri dan dokumen dicuri.

Kumpulan bersenjata semakin bermaharajalela sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengambil kesempatan susulan ketiadaan Perdana Menteri, Ariel Henry, yang meninggalkan jawatannya pada awal bulan ini.

Perkembangan itu menyebabkan keganasan meningkat termasuk serangan terhadap infrastruktur seperti balai polis dan pejabat kerajaan.

Henry, yang menghadapi tekanan antarabangsa dan terkandas di Puerto Rico, tidak lagi dipilih sebagai Perdana Menteri dan mengumumkan peletakan jawatannya sementara menunggu pelantikan sebuah majlis serta penggantinya seminggu lalu.

Jalan raya dekat penjara utama Port-au-Prince, Haiti, dihalang dengan membakar tayar selepas beberapa banduan melarikan diri. - Foto AFP
Jalan raya dekat penjara utama Port-au-Prince, Haiti, dihalang dengan membakar tayar selepas beberapa banduan melarikan diri. - Foto AFP

Namun, majlis bagi peralihan kuasa itu masih belum dilantik di berikutan perselisihan pendapat dalam kalangan beberapa kumpulan yang mengemukakan wakil.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, keanggotaan majlis itu akan dimuktamadkan 'tidak lama lagi' dan kemas kini akan dibuat.

Pemimpin kumpulan bersenjata yang sudah lama berusaha menggulingkan Henry telah memberi amaran mengenai 'pertempuran' untuk Haiti dan mengancam ahli politik yang menyertai majlis peralihan.

Penduduk berdepan masalah kekurangan makanan dan rawatan perubatan yang semakin teruk apabila syarikat perkapalan menukar laluan dengan mengelakkan Haiti.

Pada hujung minggu, agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, salah satu kotak simpanan mengandungi 'barangan penting' untuk penjagaan ibu, neo-natal dan kanak-kanak dicuri dari pelabuhan utama di Haiti.

Semakin kurang kapal antarabangsa berlabuh di Haiti kerana rasa tidak selamat semakin memuncak.

Bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedutaan AS serta Kanada memutuskan untuk membawa pulang kakitangan mereka di Haiti.

Pada hujung minggu, Republik Dominican yang berkongsi pulau Hispaniola dengan Haiti, memindahkan puluhan rakyatnya dengan helikopter.

Sementara itu, agensi berita Filipina, PNA, berkata ia akan menghantar pulang sekurang-kurangnya 63 daripada 115 warganya dan sedang mempertimbangkan untuk menyewa penerbangan sewa khas kerana penerbangan komersial digantung.

Kira-kira 17,000 orang dilaporkan meninggalkan kawasan metropolitan Port-au-Prince minggu lalu, menurut anggaran PBB.

Ramai daripadanya sudah dipindahkan. Negara jiran memperkukuh sempadan mereka. Rancangan untuk campur tangan antarabangsa yang diminta oleh kerajaan Haiti pada 2022 dan disahkan oleh PBB hampir enam bulan lalu, masih ditangguhkan. - REUTERS

Berita Harian X