Ahad, 17 March 2024 | 9:15am
Kontena penghantaran di sekitar Istana Negara di Port-au-Prince. Rakyat Haiti menunggu dengan penuh debaran pada 15 Mac 2024 untuk menamakan badan pentadbir peralihan yang mereka harapkan dapat memulihkan kestabilan negara yang dilanda keganasan kumpulan. -AFP
Kontena penghantaran di sekitar Istana Negara di Port-au-Prince. Rakyat Haiti menunggu dengan penuh debaran pada 15 Mac 2024 untuk menamakan badan pentadbir peralihan yang mereka harapkan dapat memulihkan kestabilan negara yang dilanda keganasan kumpulan. -AFP

Operasi polis di ibu negara Haiti terhadap kumpulan 'Barbeku'

PORT-AU-PRINCE: Polis merampas senjata api dan membersihkan sekatan jalan raya di kawasan kejiranan Port-au-Prince yang dikawal oleh ketua kumpulan terkenal Jimmy "Barbecue" Cherizier, dalam operasi yang menyebabkan beberapa penjenayah maut, kata pihak berkuasa, semalam.

Unit polis negara memasuki kawasan kejiranan Delmas petang Jumaat untuk membuka sekatan jalan, kata Lionel Lazarre dari kesatuan polis Haiti.

Beberapa `penyamun' terbunuh, katanya. Kenyataan polis kemudian berkata pegawai berbalas tembakan dengan lelaki dari kumpulan Cherizier, merampas senjata api dan berjaya membuka sekatan jalan raya.

"Strategi baharu sedang dilaksanakan oleh polis dengan tujuan memulihkan kawasan tertentu yang diduduki kumpulan bersenjata ini sejak kebelakangan ini, bagi memudahkan pergerakan bebas rakyat yang aman," kata kenyataan itu, tanpa memberikan butiran.

Satu lagi operasi sedang dijalankan pagi Sabtu ketika penguatkuasaan undang-undang cuba menguasai semula pelabuhan utama ibu negara, tempat kumpulan samseng telah merompak beberapa kontena, kata sumber di pelabuhan itu kepada AFP.

Pelabuhan telah ditutup sejak 7 Mac kerana keganasan.

Rakyat Haiti telah bergelut sejak beberapa hari kebelakangan ini menunggu penamaan badan pentadbir peralihan yang bertujuan untuk memulihkan kestabilan negara miskin itu, yang dilanda keganasan kumpulan dan terasing daripada dunia luar.

Ada yang berharap majlis peralihan boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Perdana Menteri, Ariel Henry, di tengah-tengah tekanan daripada serangan oleh kumpulan yang menguasai 80 peratus ibu kota.

Namun ramai yang mengecam penubuhan majlis peralihan yang belum selesai, satu langkah yang disokong oleh badan serantau Caribbean CARICOM, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.

Negara itu mempunyai sejarah campur tangan asing yang panjang dan kejam, daripada pendudukan Amerika selama 20 tahun pada awal 1900-an kepada wabak kolera yang membawa maut yang dikaitkan dengan misi pengaman PBB pada 2010-an.-AFP

Berita Harian X