Rabu, 13 March 2024 | 2:53pm
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, (kiri) dan bekas Presiden AS, Donald Trump, yang bakal bertembung pada pemilihan Presiden AS 2024. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, (kiri) dan bekas Presiden AS, Donald Trump, yang bakal bertembung pada pemilihan Presiden AS 2024. - Foto AFP

Biden terima cukup pencalonan bagi bertanding jawatan Presiden AS

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam mendapat pencalonan yang mencukupi daripada perwakilan untuk dipilih sebagai calon Parti Demokrat bagi bertanding jawatan Presiden AS.

Juteru, persaingan dijangka hanya membabitkan bekas Presiden AS, Donald Trump, yang masih kekal calon utama Parti Republikan, sekali gus menjadi pemilihan Presiden AS yang pertama menyaksikan pertanding dalam tempoh hampir 70 tahun.

Biden memerlukan 1,968 perwakilan bagi memenangi pencalonan dan Edison Research berkata beliau mengatasi undian yang diperlukan pada malam tadi ketika keputusan mula diperoleh daripada persaingan utama di Georgia.

Ia mendahului keputusan yang dijangkakan dari Mississippi, negeri Washington, Kepulauan Mariana Utara dan ahli Demokrat yang bermastautin di luar negara.

Trump juga dijangka memperoleh pencalonan mencukupi Parti Republikan ketika empat negeri mengadakan pertandingan termasuk di Georgia, medan tempur di mana Trump menghadapi tuduhan jenayah kerana cuba membatalkan keputusan negeri itu pada 2020.

Keputusan itu pada dasarnya sudah tersurat, selepas saingan terakhir Trump untuk pencalonan Republikan, iaitu bekas Duta Besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, berundur,

Haley menamatkan kempen presidennya berikutan Trump, pada minggu lalu ketika Super Tuesday, tampil dengan prestasi luar biasa apabila beliau memenangi 14 daripada 15 pertandingan peringkat negeri.

Sementara itu, Biden hanya berdepan tentangan dalam kempen utama Demokrat, walaupun aktivis liberal kecewa dengan sokongannya terhadap perang Israel di Gaza hingga meyakinkan sebilangan besar minoriti Demokrat untuk mengundi 'tidak komited' sebagai tanda protes.

Kedua-dua pemimpin besar itu meraih perhatian ramai menjelang Pilihan Raya Umum pada 5 November, dengan mengadakan perhimpunan 'satu lawan satu' di Georgia pada Sabtu.

Setakat Isnin lalu, Trump memerlukan 139 perwakilan tambahan untuk mencapai 1,215 undi, jumlah yang diperlukan untuk mendapatkan pencalonan presiden bagi Parti Republikan, menurut Edison Research.

Terdapat 161 perwakilan mengundi semalam di Georgia, Hawaii, Mississippi dan Washington, yang mana Trump hanya perlukan 137 undi untuk mengukuhkan cabarannya terhadap Biden.

Pelbagai pertuduhan jenayah dihadapi Trump termasuk 91 kes jenayah membabitkan empat dakwaan berasingan, yang dikatakan boleh menjejaskan kedudukannya dalam kalangan pengundi pinggir bandar berpendidikan tinggi, yang sebeklum ini menyokongnya.

Trump akan menjadi bekas presiden AS pertama yang dibicarakan bagi kes jenayah pada 25 Mac di New York, di mana beliau menghadapi pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan pembayaran wang sogokan kepada bintang filem lucah.

Kes paling serius terhadapnya ialah pendakwaan Persekutuan di Washington DC yang menuduhnya merancang untuk membatalkan pilihan raya pada 2020.

Bagaimanapun, kes itu ditangguhkan selepas Mahkamah Agung AS bersetuju mendengar tuntutan Trump mengenai kekebalan presiden dan tidak jelas sama ada perbicaraan boleh dilakukan sebelum pemilihan Presiden AS diadakan 5 November ini. - REUTERS

Berita Harian X