Jumaat, 1 March 2024 | 3:40pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Seorang maut, dua cedera ditembak di klinik pergigian di California

LOS ANGELES: Polis sedang memburu suspek yang melepaskan tembakan di sebuah klinik gigi, mengakibatkan seorang maut dan dua cedera di bandar El Cajon di California, semalam.

Polis di bandar yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari San Diego, memuat naik di media sosial bahawa mereka sedang mencari suspek berusia 29 tahun, 'bersenjata dan berbahaya'.

Dia dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian selepas serangan itu dan disifatkan suspek sebagai 'penembak aktif'.

Stesen TV tempatan, KUSI, melaporkan dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.

Setakat ini, masih belum jelas sama ada penembak mengenali mangsa.

Keganasan senjata api adalah perkara biasa di Amerika Syarikat (AS), di mana ketika ini terdapat lebih banyak senjata daripada penduduk, dengan kira-kira satu pertiga daripada orang dewasa memiliki senjata api.

Tinjauan menunjukkan, secara teorinya majoriti rakyat AS menyokong peraturan senjata yang lebih ketat.

Bagaimanapun, pelobi senjata api yang berkuasa dan pengundi menyokong budaya hak senjata yang kuat di negara itu sudah berulang kali menyukarkan tindakan Kongres meluluskan sebarang larangan berkaitan senjata api dari segi politik.

Malah, Mahkamah Agung AS turut berbelah-bahagi kelmarin apabila mendengar hujah mengenai kesahihan penggunaan 'bump stock' iaitu peranti mudah yang membolehkan senjata separa automatik melakukan tembakan pantas berulang.

Ia berpunca daripada kes tembakan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS pada Oktober 2017, apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri konsert muzik luar di Las Vegas, membunuh 58 orang dan mencederakan sekitar 500 lagi mangsa. - AFP

Berita Harian X