Sabtu, 24 Februari 2024 | 7:31pm
Presiden Brazil, Lula da Silva, berucap di Rio de Janeiro, semalam. - FOTO AFP
Presiden Brazil, Lula da Silva, berucap di Rio de Janeiro, semalam. - FOTO AFP

Israel lakukan genosid pada rakyat Palestin di Gaza - Presiden Brazil

RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Lula da Silva, sekali lagi menegaskan bahawa Israel melakukan 'genosid' terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

"Apa yang Israel lakukan bukanlah peperangan tetapi genosid kerana mereka membunuh wanita dan kanak-kanak.

"Beribu-ribu kanak-kanak terbunuh, manakala ribuan lagi hilang. Bukan tentera yang terbunuh, namun wanita dan kanak-kanak.

"Jika ini bukan dikatakan genosid, saya tidak tahu apa maksud sebenar genosid," katanya pada satu acara di Rio de Janeiro, semalam.

Sebelum ini, Presiden itu dilapor menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai sama seperti Holocaust Nazi ketika Perang Dunia II.

Bercakap kepada media di luar Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika di Addis Ababa pada 18 Februari lalu, beliau dipetik berkata, apa yang berlaku di Gaza kini bukan peperangan tetapi genosid.

Beliau turut menyifatkan apa yang terjadi itu tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Berikutan kenyataan itu, Brazil memanggil pulang dutanya ke Tel Aviv pada hari berikutnya. – BERNAMA-WAFA

Berita Harian X