Sabtu, 24 Februari 2024 | 3:30pm
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP

Penipuan kekayaan, mahkamah arah Trump bayar AS$454.2 juta

NEW YORK: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara rasmi diarahkan oleh hakim New York untuk membayar denda AS$454.2 juta (RM2.1 bilion).

Mahkamah mendapati dia bertanggungjawab kerana memanipulasi pengisytiharan hartanya dalam pertuduhan penipuan sivil yang dibawa oleh peguam negara New York.

Bayaran itu termasuk penalti AS$354.9 juta (RM1.6 bilion) yang diperintahkan oleh Hakim Arthur Engoron dari mahkamah negeri di Manhattan pada 16 Februari lalu, termasuk faedah selepas perbicaraan tanpa juri yang berlangsung selama tiga bulan.

Engoron juga mengarahkan anak lelaki Trump, Donald Trump Jr. dan Eric Trump, masing-masing membayar hampir AS$4.7 juta (RM22.45 juta) dan bekas ketua pegawai kewangan Pertubuhan Trump, Allen Weisselberg AS$1.1 juta (RM5.26 juta), termasuk faedah.

Pembayaran keseluruhan itu berjumlah AS$464.6 juta (RM2.2 bilion) dan ditentukan pada hari Khamis.

Lebih daripada AS$114,000 (RM544,635) faedah akan terus terkumpul setiap hari, kebanyakannya untuk Donald Trump sahaja, berdasarkan penghakiman yang diumumkan semalam itu.

Peguam Negara, Letitia James, menuduh defendan melebihkan nilai hartanah Trump secara haram untuk meningkatkan nilai bersihnya bagi mendapatkan terma pinjaman serta insurans yang lebih baik.

Engoron juga melarang Trump daripada berkhidmat dalam peranan tertinggi di mana-mana syarikat di New York, atau mendapatkan pinjaman daripada bank yang berdaftar di negeri itu selama tiga tahun.

Anak lelakinya juga menerima larangan memegang jawatan berperanan kepimpinan, selama dua tahun.

Hakim berkata, defendan 'langsung tidak ada penyesalan dan dan menunjukkan ciri-ciri pesalah berulang'.

Keputusan Engoron itu dijangka mengancam empayar perniagaan yang dibina Trump sepanjang hayatnya dan menjejaskan peluangnya dalam pemilihan presiden AS pada akhir tahun ini.

Bekas presiden Republikan itu juga berdepan empat pendakwaan jenayah yang tidak berkaitan, di mana dia mengaku tidak bersalah, ketika dia berusaha untuk kembali ke Rumah Putih dengan menewaskan calon Demokrat, Joe Biden.

Trump juga menuduh James dan Engoron, kedua-duanya penyokong Demokrat, sebagai menerima rasuah dan menggelar kes itu sebagai bermotifkan politik.

Dia merancang untuk merayu penaltinya kepada Bahagian Rayuan, Mahkamah Rayuan peringkat pertengahan, tetapi tetap perlu mengemukakan wang yang perlu dibayar atau mendapatkan bon.

Engoron menolak permintaan Clifford Robert, seorang peguam untuk defendan untuk menangguhkan penguatkuasaan penghakiman selama 30 hari bagi membolehkan 'proses pasca penghakiman yang teratur' memandangkan ia adalah penghakiman yang besar.

"Anda gagal menjelaskan, apalagi mewajarkan, sebarang asas untuk penangguhan penguatkuasaan penghakiman ini. Saya yakin Bahagian Rayuan akan melindungi hak rayuan anda," katanya dalam e-mel kepada Robert. - REUTERS

Berita Harian X