Jumaat, 23 Februari 2024 | 2:56pm
Sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung perkembangan di Asia Barat, khususnya Palestin. - Foto AFP
Sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung perkembangan di Asia Barat, khususnya Palestin. - Foto AFP

Palestin rancang mohon keanggotaan penuh PBB

WASHINGTON: Palestin merancang untuk memohon keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mungkin meminta negara anggota badan dunia itu menyokong kemasukannya.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, pada Khamis berkata pihaknya akan memperhebatkan perbincangan itu dan menggunakan pelbagai langkah bagi mencapainya,

"Antaranya termasuk mengeluarkan kenyataan dan meminta tandatangan daripada negara anggota yang menyokong kemasukan Palestin ke dalam PBB.

"Kami merancang untuk meneruskan proses selanjutnya ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan mengemukakan resolusi dengan menggesa cadangan untuk menerima negara Palestin sebagai anggota PBB," katanya kepada wartawan di New York.

Kenyataannya dibuat sehari selepas Parlimen Israel, Knesset, mengundi 99-11 untuk menyokong keputusan kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk menolak sebarang pengiktirafan sebelah pihak terhadap negara Palestin.

Mansour berkata Palestin akan mempercepatkan proses di Perhimpunan Agung PBB untuk menyeru masyarakat antarabangsa mengambil langkah praktikal untuk memaksa Israel menarik balik kepungan ke atas Gaza.

Negara Palestin telah diberikan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung PBB pada 2012, membolehkan utusannya mengambil bahagian dalam perdebatan dan struktur PBB tetapi tanpa hak mengundi.

Menurut Piagam PBB, negara diterima sebagai anggota PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan UNSC.

Mansour menegaskan, Israel masih tidak mematuhi perintah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebaliknya terus menafikan Palestin, termasuk haknya untuk melaksanakan penentuan nasib sendiri. - BERNAMA

Berita Harian X