Jumaat, 23 Februari 2024 | 11:07am
Salah sebuah sekolah dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di dalam kem pelarian palestin Mar Elias di Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS
Salah sebuah sekolah dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di dalam kem pelarian palestin Mar Elias di Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS

Israel mahu 'musnahkan' UNRWA

NEW YORK: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) semalam memberi amaran sudah mencapai titik kritikal untuk membantu mangsa perang yang tidak berkesudahan di Gaza.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, mendedahkan bahawa pihaknya berdepan tekanan berterusan daripada Israel sehingga menganggu operasi menyalurkan bantuan ke wilayah terbabit.

"Dengan kekesalan yang mendalam ini, saya mesti maklumkan kepada semua bahawa UNRWA telah mencapai titik kemusnahan.

"Keupayaan agensi untuk memenuhi mandat yang diberikan melalui resolusi Perhimpunan Agung 302 kini terancam secara serius," katanya dalam sepucuk surat.

UNRWA berdepan kebuntuan itu susulan penderma membekukan pembiayaan kepadanya selain rejim Zionis terus memberi tekanan.

UNRWA menggaji kira-kira 30,000 orang yang berkhidmat di wilayah yang diceroboh Israel di Lubnan, Jordan dan Syria.

Sebelum ini, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Jerman dan Jepun bertindak menggantung pembiayaan kepada UNRWA.

Langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada dakwaan Israel bahawa terdapat kakitangan agensi itu menyertai serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Dalam temubual yang disiarkan hujung minggu, Lazzarini berkata sebanyak AS$438 juta (RM2.1 bilion) dibekukan, bersamaan lebih separuh daripada pembiayaan terkandung dalam bajet untuk tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa Israel mempunyai perancangan iaitu untuk melancarkan usaha bersepadu bagi memusnahkan UNRWA.

Berikutan dakwaan Israel terhadap kakitangan UNRWA terbabit perang, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memecat pekerja berkenaan dan memulakan siasatan dalaman terhadap agensi itu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengumumkan panel bebas untuk menyiasat sama ada UNRWA bertindak secara neutral atau sebalik berhubung konflik Israel-Palestin.

Menyangkal dakwaan Israel, Lazzarini semalam menegaskan bahawa Israel tidak mengemukakan bukti ke atas 12 bekas pekerja yang didakwanya, tetapi secara tiba-tiba 16 negara memutuskan untuk menggantung pembiayaan.

"Saya memberi amaran kepada penderma dan negara tuan rumah bahawa tanpa pembiayaan baharu, operasi UNRWA di seluruh rantau ini akan terjejas teruk mulai Mac.

"Saya bimbang kita berada di ambang bencana amat besar dengan kesan besar terhadap keamanan serantau, keselamatan dan hak asasi manusia," katanya.

Data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan sekurang-kurangnya 29,410 warga Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak ekoran serangan bertali arus rejim Zionis di wilayah berkenaan. - AFP

Berita Harian X