Jumaat, 16 Februari 2024 | 11:48pm
Seorang wanita meletakkan sekeping kad yang memaparkan kata-kata pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny pada satu monumen di Saint Petersburg, Russia hari ini, susulan kematiannya di penjara Arkitik. Tulisan itu berbunyi `Pesanan saya sekiranya terbunuh amat ringkas: jangan putus asa. - Foto REUTERS
Seorang wanita meletakkan sekeping kad yang memaparkan kata-kata pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny pada satu monumen di Saint Petersburg, Russia hari ini, susulan kematiannya di penjara Arkitik. Tulisan itu berbunyi `Pesanan saya sekiranya terbunuh amat ringkas: jangan putus asa. - Foto REUTERS

AS sifatkan kematian ketua pembangkang Russia `tragedi dahsyat'

WASHINGTON: Rumah Putih menyifatkan kematian pemimpin pembangkang Russia, Alexy Navalny hari ini ketika sedang menjalani hukuman penjara, sekiranya benar adalah `tragedi yang dahsyat'.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, Jake Sullivan berkata insiden itu menimbulkan persoalan, apatah lagi melihat kepada sejarah Kremlin yang panjang dan menjijikkan dalam menumpaskan lawannya.

"Insiden itu menimbulkan pertanyaan yang jelas mengenai apa sebenarnya berlaku," katanya kepada NPR.

Navalny yang sedang menjalani hukuman penjara selama 19 tahun dilaporkan mati apabila rebah selepas berjalan di kawasan penjara Arkitik, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata Russia bertanggungjawab terhadap kematian Navalny.

"Kematian beliau di penjara Russia dan ketakutan terhadap seorang lelaki hanya menunjukkan kelemahan yang terdapat di dalam sistem pimpinan Putin.

"Russia bertanggungjawab terhadap insiden itu," katanya di luar Persidangan Keselamatan Munich di Jerman.

Sementara itu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Dmitry Muratov pula mendakwa kematian Navalny sebagai satu pembunuhan dan menyifatkan pemimpin itu diseksa sejak beberapa tahun lalu.

"Navalny diseksa selama tiga tahun. Seperti yang doktor beritahu saya, tiada individu dapat menanggung penyeksaan seperti itu. Nampaknya kematian ditambah dalam hukuman Navalny," katanya seperti dilaporkan oleh Novaya Gazeta.

- AFP

Berita Harian X