Khamis, 15 Februari 2024 | 3:17pm
Wakil Republikan yang mempengerusikan jawatankuasa perisikan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Turner. - Foto REUTERS
Wakil Republikan yang mempengerusikan jawatankuasa perisikan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Turner. - Foto REUTERS

AS beri amaran kepada sekutu mengenai keupayaan angkasa, nuklear Russia

WASHINGTON: Risikan terkini Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa Russia sedang membangunkan senjata nuklear untuk diletakkan di angkasa lepas, sekali gus berupaya menimbulkan ancaman antarabangsa.

Perisikan itu terbongkar selepas wakil Republikan yang mempengerusikan jawatankuasa perisikan Dewan Perwakilan AS, Mike Turner, mengeluarkan kenyataan yang luar biasa dan samar pada Rabu lalu, memberi amaran mengenai 'ancaman keselamatan negara yang serius'.

"Saya meminta Presiden AS, Joe Biden, menyahklasifikasikan semua maklumat berkaitan ancaman ini supaya Kongres, Pentadbiran dan sekutu AS boleh membincangkan secara terbuka tindakan yang perlu dilakukan.

"Kita perlu bersedia bertindak balas terhadap ancaman ini," kata Turner tanpa memberikan maklumat lanjut.

Kenyataan Turner dikeluarkan ketika perdebatan hangat di Kongres mengenai bagaimana AS harus menangani ancaman global teruatama daripada Russia dan pesaing lain.

Turner baru-baru ini kembali daripada mengetuai delegasi kongres dwipartisan ke Ukraine, selepas beliau memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk Ukraine bagi memerangi pencerobohan Russia.

Namun, sumber berkata ia tidak menimbulkan ancaman segera kepada AS tetapi memberi amaran bahawa keupayaan Russia di angkasa adalah berkaitan dengan satelit dan nuklear, yang memerlukan dunia berwaspada.

Memetik seorang pegawai semasa dan bekas pegawai AS, New York Times melaporkan sebelum ini bahawa perisikan baharu itu berkaitan dengan percubaan Russia untuk membangunkan senjata nuklear anti satelit berasaskan angkasa.

Laporan lain sebelum ini turut mendedahkan bahawa perisikan itu mempunyai kaitan dengan keupayaan sedemikian, namun senjata nuklear berkenaan belum lagi berada di orbit.

Pentadbiran Biden ketika ini sedang meningkatkan kritikannya terhadap Republikan kerana mungkin menyekat rang undang-undang (RUU) AS$95 bilion (RM454 bilion) yang diluluskan oleh Senat bagi membekalkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, Israel dan Taiwan.

Penyokong RUU itu berhujah bahawa sebab utama AS menyokong kerajaan di Kyiv adalah untuk menolak ancaman dari Russia yang melangkaui Ukraine. - AGENSI

Berita Harian X