Rabu, 14 Februari 2024 | 8:01am
Rundingan membabitkan AS, Mesir, Israel dan Qatar mengenai gencatan senjata Gaza berakhir tanpa kejayaan pada Selasa ketika seruan semakin meningkat untuk Israel menahan serangan Rafah yang dirancangnya. - Foto AGENSI
Rundingan membabitkan AS, Mesir, Israel dan Qatar mengenai gencatan senjata Gaza berakhir tanpa kejayaan pada Selasa ketika seruan semakin meningkat untuk Israel menahan serangan Rafah yang dirancangnya. - Foto AGENSI

Pencerobohan Rafah boleh 'membawa kepada penyembelihan' - PBB

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terhadap pencerobohan darat Israel ke atas Rafah di Semenanjung Gaza dengan berkata, serangan boleh 'mengakibatkan pembunuhan' di wilayah selatan enklaf Palestin itu, di mana lebih sejuta orang berlindung.

Israel memaklumkan, pihaknya mahu menghalau keluar pejuang Hamas daripada lokasi persembunyian di Rafah dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di kawasan itu, di samping sedang membuat perancangan untuk memindahkan orang awam Palestin yang terperangkap.

"Operasi ketenteraan di Rafah boleh membawa kepada penyembelihan di Gaza. Mereka juga boleh meninggalkan operasi kemanusiaan yang sudah 'rapuh di pintu kematian'.

"Kami kekurangan jaminan keselamatan, bekalan bantuan dan kapasiti kakitangan untuk mengekalkan operasi ini," kata Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths.

Griffiths berkata, masyarakat antarabangsa sudah memberi amaran terhadap akibat berbahaya daripada sebarang pencerobohan darat di Rafah.

"Kerajaan Israel tidak boleh terus mengabaikan seruan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Rundingan yang membabitkan Amerika Syarikat (AS), Mesir, Israel dan Qatar mengenai gencatan senjata Gaza berakhir tanpa kejayaan pada Selasa ketika seruan semakin meningkat untuk Israel menahan serangan Rafah yang dirancangnya.

"Harapan ikhlas saya rundingan bagi pembebasan tebusan dan beberapa bentuk pemberhentian permusuhan berjaya untuk mengelak serangan habis-habisan ke atas Rafah.

"Itu akan membawa akibat yang dahsyat," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kepada pemberita pada hari Selasa.

Lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung di Rafah dengan kebanyakan mereka berada di pagar sempadan dengan Mesir dan tinggal di khemah sementara. - REUTERS

Berita Harian X