Selasa, 13 Februari 2024 | 10:22pm
Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut bantuan kepada Ukraine disegerakan sambil mengibarkan bendera gandingan Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine, di luar bangunan Capitol di Washington, DC, AS. - Foto AFP
Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut bantuan kepada Ukraine disegerakan sambil mengibarkan bendera gandingan Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine, di luar bangunan Capitol di Washington, DC, AS. - Foto AFP

Senat AS luluskan bantuan AS$95 bilion untuk Ukraine, Israel, Taiwan

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Demokrat meluluskan pakej bantuan AS$95.34 bilion (RM454.4 bilion) untuk Ukraine, Israel dan Taiwan.

Kelulusan itu dibuat di tengah-tengah keraguan yang semakin meningkat mengenai nasib rang undang-undang (RUU) itu di Dewan Perwakilan yang dikawal Republikan.

Penggubal undang-undang meluluskan langkah itu dalam undian 70-29 yang melebihi ambang 60 undi untuk diluluskan dan menghantar undang-undang itu ke Dewan Perwakilan.

Seramai 22 anggota Republikan menyertai ahli Demokrat untuk menyokong RUU itu.

Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer berkata sudah bertahun-tahun, mungkin berdekad, sejak Senat meluluskan RUU yang memberi kesan bukan sahaja kepada keselamatan AS, atau keselamatan sekutunya, tetapi keselamatan demokrasi Barat.

Presiden Demokrat, Joe Biden, menggesa Kongres untuk menyegerakan bantuan baharu kepada Ukraine dan rakan kongsi AS di Indo-Pasifik, termasuk Taiwan.

Beliau juga meminta dana untuk sekutu AS iaitu Israel bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Pegawai Ukraine juga memberi amaran mengenai kekurangan senjata ketika Russia sedang meneruskan serangan.

Kedua-dua Dewan Kongres perlu meluluskan sebelum Biden boleh menandatangani dan menjadikannya undang-undang.

Schumer berkata beliau percaya langkah itu akan menerima sokongan kuat baik Kongres atau Demokrat, apabila membabitkan undian di Dewan Perwakilan.

RUU itu termasuk AS$61 bilion (RM291 bilion) untuk Ukraine,AS$14 bilion (RM67 bilion) untuk Israel dalam perangnya menentang Palestin dan AS$4.83 bilion (RM23 bilion) untuk menyokong rakan kongsi di Indo-Pasifik, termasuk Taiwan, dan menghalang pencerobohan China.

Ia juga akan menyediakan bantuan kemanusiaan sebanyak AS$9.15 bilion (RM43.6 bilion) kepada orang awam di Gaza dan Tebing Barat, Ukraine dan zon konflik lain di seluruh dunia. - REUTERS

Berita Harian X