Selasa, 13 Februari 2024 | 12:08pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Wanita hamil, kanak-kanak antara jutaan alami gejala 'long COVID'

MARYLAND, AMERIKA SYARIKAT: Jutaan bekas pesakit COVID-19 terutama wanita hamil dan kanak-kanak menderita gejala 'long COVID' dengan kajian mendapati seorang daripada wanita hamil yang dijangkiti virus itu akan mengalami gejala jangka panjang.

Menerusi data daripada Inisiatif Pemulihan Institut Kesihatan Nasional yang dikongsi pada mesyuarat tahunan Persatuan Perubatan Maternal-Fetal di National Harbour, Maryland, ia menunjukkan daripada 1,503 respondan yang hamil, 9.3 peratus melaporkan mengalami gejala enam bulan atau lebih selepas mereka dijangkiti.

Gejala yang paling biasa ialah rasa letih selepas melakukan aktiviti fizikal atau mental yang ringan selain melaporkan berasa pening.

Menurut Profesor Madya Obstetrik dan Ginekologi dan Naib Pengerusi Penyelidikan Obstetrik dan Ginekologi di University of Utah Health, Dr Torri Metz, ia berkemungkinan disebabkan mereka mempunyai kurang komplikasi perubatan asas, secara keseluruhan, lebih muda dan mempunyai tindak balas imun yang berbeza.

"Selalunya, orang yang hamil cenderung menjadi lebih sakit apabila terdedah kepada virus kerana sistem imun mereka tidak mempunyai tindak balas yang mantap seperti biasanya.

"Ini mungkin bermakna badan wanita hamil mengalami kurang keradangan, tindak balas semula jadi sistem imun terhadap jangkitan.

"Kajian lain mengaitkan keradangan berpanjangan selepas COVID dengan kesan kepada otak dan kerosakan pada paru-paru dan buah pinggang.

"Jadi mungkin mereka tidak mempunyai banyak kerosakan organ di sekeliling dan akibat kompleks hiliran," katanya.

Sementara itu, penyelidikan baharu yang lain, yang diterbitkan minggu lalu dalam jurnal Pediatrics, melihat pelbagai kajian ke atas kanak-kanak dan mendapati sehingga enam juta berdepan kesan long COVID.

Gejala COVID yang lama pada kanak-kanak termasuk masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas dan dada sesak, serta keletihan.

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk beberapa keadaan autoimun seperti diabetes jenis 1 selepas jangkitan COVID, walaupun penyakit itu ringan atau tanpa gejala.

Satu kajian Amerika Syarikat yang dikaji oleh penulis mendapati peningkatan risiko diabetes sebanyak 72 peratus dalam tempoh enam bulan selepas jangkitan awal.

Bagaimanapun kajian belum menjelaskan sepenuhnya faktor persamaan kanak-kanak dengan kesan long COVID.

Berita Harian X