Sabtu, 10 Februari 2024 | 10:59pm
Bekalan ayam diperuntukkan untuk sistem ‘buku catuan’ Cuba yang diperkenalkan selepas revolusi Fidel Castro pada 1959 bagi menyediakan makanan ruji bersubsidi untuk semua. - Foto AGENSI
Bekalan ayam diperuntukkan untuk sistem ‘buku catuan’ Cuba yang diperkenalkan selepas revolusi Fidel Castro pada 1959 bagi menyediakan makanan ruji bersubsidi untuk semua. - Foto AGENSI

31 individu didakwa curi 133 tan ayam di Cuba

HAVANA: Seramai 30 individu didakwa di Mahkamah Cuba atas tuduhan mencuri 133 tan ayam dan menjualnya di jalanan, dalam rompakan besar yang jarang berlaku ketika negara itu dilanda masalah kekurangan makanan.

Stesen televisyen Cuba pada lewat Jumaat melaporkan, pencuri mengambil daging ayam dalam 1,660 kotak putih daripada sebuah fasiliti negeri di ibu negara Havana dan menggunakan hasil jualan untuk membeli peti sejuk, komputer riba, televisyen dan pendingin hawa.

Ayam itu diperuntukkan untuk sistem 'buku catuan' Cuba yang diperkenalkan selepas revolusi Fidel Castro pada 1959 bagi menyediakan makanan ruji bersubsidi untuk semua.

Pengarah pengedar makanan kerajaan COPMAR, Rigoberto Mustelier, berkata kuantiti ayam yang dicuri adalah bersamaan dengan catuan ayam selama sebulan untuk wilayah bersaiz sederhana pada kadar pengedaran semasa.

Jumlah ayam yang boleh didapati melalui buku catuan itu menurun dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana krisis ekonomi membawa kepada kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Banyak produk bersubsidi lewat tiba selama berhari-hari, berminggu-minggu malah berbulan-bulan kepada penduduk, menyebabkan mereka yang memperoleh gaji purata 4,209 peso sebulan mencari cara lain untuk memenuhi keperluan hidup.

Pihak berkuasa tidak menyatakan bila kecurian ayam itu berlaku, namun ia kemungkinan berlaku antara tengah malam dan 2 pagi apabila mereka mengesan turun naik suhu kemudahan simpanan sejuk.

Video pengawasan merakam trak yang mengangkut ayam itu keluar dari lokasi.

Stesen televisyen itu melaporkan, 30 individu yang didakwa, termasuk ketua syif, pekerja teknologi maklumat (IT) di kilang terbabit, pengawal keselamatan dan orang luar yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan syarikat berkenaan.

Jika didapati bersalah, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Jenayah semakin meningkat, selain kesukaran ekonomi melanda pulau Caribbean itu sejak berakhirnya pandemik COVID-19, walaupun laporan mengenai kecurian berskala besar seperti itu masih jarang berlaku. - REUTERS

Berita Harian X