Sabtu, 10 Februari 2024 | 10:31am
Joseph Vincent disabit bersalah bagi kes pembunuhan Presiden Haiti terakhir, Jovenel Moise (gambar), pada 2021.
Joseph Vincent disabit bersalah bagi kes pembunuhan Presiden Haiti terakhir, Jovenel Moise (gambar), pada 2021.

Mahkamah AS penjara bekas pemberi maklumat DEA

MIAMI: Mahkamah semalam, memerintahkan bekas pemberi maklumat Pentadbiran Dadah Amerika Syarikat (DEA), Joseph Vincent dipenjara seumur hidup selepas disabit bersalah bagi kes pembunuhan Presiden Haiti terakhir, Jovenel Moise, pada 2021.

Vincent yang berketurunan Haiti-Amerika dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah membantu rancangan terbabit dengan memberi nasihat politik dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin komuniti.

Berdasarkan dokumen mahkamah, dia menyamar sebagai pegawai Kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Di mahkamah berasingan, seorang lelaki berasal dari Florida, Frederick Joseph Bergmann Jr, juga mengaku bersalah terhadap tuduhan bagi kes sama, termasuk mengemukakan maklumat eksport palsu atau mengelirukan.

Frederick ditahan bersama tiga lagi penduduk Florida setahun lalu, dengan pihak berkuasa AS ketika itu mendakwa dia membantu membiayai penginapan tentera upahan di Haiti dan membantu menghantar baju kalis peluru dengan memalsukan dokumen eksport.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Vincent dan Frederick adalah antara 11 tertuduh dalam rancangan menggantikan Moise dengan menghantar pasukan tentera upah Colombia untuk membunuhnya di rumahnya di Port-au-Prince.

Ketika ini, empat pesalah sudah disabitkan hukuman di Miami dengan semua mereka dipenjara seumur hidup.

Moise ditembak di bilik tidurnya ketika serangan pada waktu malam, menyebabkan berlaku kekosongan politik dengan persekutuan kumpulan gangster memperluas jajahan yang kini dianggarkan mengawal sebahagian besar ibu negara.

Sementara itu, siasatan berasingan dijalankan di Haiti, dengan hakim memanggil untuk menyoal siasat beberapa tokoh seperti Perdana Menteri yang menggantikan Moise secara tidak rasmi, Ariel Henry dan balu mendiang, Martine Moise.

Sejak kematian Moise, gengster bersenjata, dipercayai sebahagian besarnya diseludup dari AS, memperluas kuasa mereka dalam skala besar, selain perebutan wilayah mendorong krisis kemanusiaan dan ribuan orang terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Januari adalah bulan paling ganas di Haiti sejak lebih dua tahun lalu, dengan lebih 1,100 orang terbunuh, cedera atau diculik.

Protes antikerajaan meletus beberapa hari menjelang 7 Februari lalu, iaitu ketika Henry berjanji untuk meletak jawatan, sebelum dia berubah fikiran dan menyatakan keselamatan perlu dipulihkan demi pilihan raya bebas serta adil.

Kali terakhir pilihan raya diadakan di Haiti adalah pada 2016, manakala tempoh senator terakhir tamat pada Januari 2023. -REUTERS

Berita Harian X