Khamis, 8 Februari 2024 | 11:15am
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada sidang Perhimpunan Agung PBB yang membentangkan keutamaannya bagi 2024 di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada sidang Perhimpunan Agung PBB yang membentangkan keutamaannya bagi 2024 di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Dunia memasuki zaman huru-hara - Ketua PBB

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki 'zaman huru-hara' berikutan perpecahan dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Katanya, usaha badan dunia itu bagi menangani isu kritikal seperti perang Israel-Palestin, Ukraine-Russia dan pergolakan di Sudan, kerap menemui jalan buntu sejak kebelakangan ini.

Antara lain, Guterres menumpukan kepada konflik Israel-Palestin dan memberi amaran sekiranya Israel meneruskan serangan di Rafah, ia akan memberikan kesan serantau yang besar.

Amaran itu dibuat selepas tentera Israel, dalam kempen untuk memusnahkan Hamas, melakukan serangan tanpa henti dan pencerobohan darat sehingga menyebabkan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal.

"Sudah tiba masanya untuk melakukan gencatan senjata dengan segera dan pembebasan tanpa syarat bagi semua tebusan," katanya pada sidang Perhimpunan Agung PBB yang membentangkan keutamaannya bagi 2024.

Dalam ucapan itu, beliau turut menyeru mengenai perubahan kepada UNSC dan sistem kewangan antarabangsa.

"UNSC adalah platform utama bagi persoalan keamanan global tetapi kini ia berdepan kebuntuan akibat retakan geopolitik.

"Ini bukan kali pertama UNSC berpecah, namun ini adalah yang paling teruk. Keretakan hari ini lebih mendalam lagi berbahaya," kata bekas Perdana Menteri Portugis itu.

Kenyataannya dibuat ketika konflik memuncak di Ukraine, Sudan, Asia Barat dan negara lain dengan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran dan memerlukan bantuan.

"Apabila konflik semakin berleluasa, keperluan kemanusiaan di seluruh dunia berada pada tahap tertinggi sepanjang masa, namum pembiayaan tidak seiring," katanya.

Sehubungan itu, Guterres menggalakkan pemimpin dunia untuk merebut peluang pada 'Sidang Kemuncak Masa Depan', yang akan diadakan pada September di New York untuk 'membentuk multilateralisme bagi tahun-tahun mendatang'. - AFP

Berita Harian X