Sabtu, 3 Februari 2024 | 7:26am
Mayat tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh di dalam serangan dron pejuang disokong Iran di Jordan, William Rivers, Kennedy Sanders and Breonna Moffett, dibawa pulang ke AS. - Foto REUTERS
Mayat tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh di dalam serangan dron pejuang disokong Iran di Jordan, William Rivers, Kennedy Sanders and Breonna Moffett, dibawa pulang ke AS. - Foto REUTERS

AS lancar serangan balas di Iraq, Syria

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan balas udara di Iraq dan Syria terhadap lebih daripada 85 sasaran yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan pejuang yang disokongnya, kata tentera AS.

Serangan itu menyusul selepas serangan maut menggunakan dron di Jordan yang membunuh tiga tentera AS dan mencederakan kira-kira 40 yang lain.

Ia juga dipercayai tindak balas pertama pelbagai peringkat oleh pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, terhadap serangan hujung minggu lalu yang dilakukan oleh pejuang yang disokong Iran.

Walaupun serangan AS tidak menyasarkan mana-mana lokasi di dalam Iran, ia dijangka meningkatkan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Keadaan di Semenanjung Gaza, di mana Israel sedang berperang dengan Palestin yang sudah berlarutan meelbihi tiga bulan, dikhuatiri bertambah buruk.

Tentera AS dalam satu kenyataan berkata, serangan itu kena pada sasaran termasuk pusat arahan dan kawalan, roket, peluru berpandu dan kemudahan penyimpanan dron serta kemudahan rantaian bekalan logistik dan peluru.

Kata tentera itu lagi, serangan itu mencecah lebih 85 sasaran merangkumi tujuh lokasi dengan lebih 125 peluru dan termasuk penggunaan pengebom jarak jauh yang terbang dari AS.

Mereka menyasarkan Pasukan Quds, pengintipan asing dan pasukan separa tentera IRGC yang banyak mempengaruhi pejuang sekutunya di seluruh Asia Barat dari Lubnan ke Iraq dan Yaman ke Syria.

Semalam, media kerajaan Syria melaporkan pencerobohan AS di pangkalan tentera di kawasan padang pasirnya dan di sempadan Syria-Iraqi mengakibatkan mangsa terkorban dan cedera.

Sementara itu, kumpulan pemantau perang, Pemantau Hak Asasi Syria, melaporkan sekurang-kurangnya 18 pejuang pro-Iran terbunuh dalam serangan AS di timur Syria.

Terdahulu, Biden dan pemimpin Pentagon mengunjungi Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware, yang menempatkan mayat tiga askar AS terbunuh dalam serangan Jordan, selepas dibawa pulang.

Serangan Jordan adalah serangan maut pertama terhadap tentera AS sejak perang Israel-Palestin yang meletus 7 Oktober lalu.

AS menilai serangan dron yang membunuh tiga askarnya selain mencederakan lebih 40 mangsa lain yang dilakukan pejuang disokong Iran sebelum melancarkan serangan balas, kata pegawai AS kepada Reuters.

"Serangan balas kami bermula hari ini. Ia akan berterusan pada masa dan tempat mengikut pilihan kami," kata Biden dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata, Biden turut mengarahkan tindakan tambahan terhadap IRGC dan semua pihak yang dikaitkan dengannya.

"Ini permulaan tindak balas kami," kata Austin.

Sebelum serangan balas semalam, Presiden Iran, Ebrahim Raisi berkata, Iran tidak akan memulakan perang tetapi akan 'bertindak balas keras' kepada sesiapa sahaja yang cuba membulinya.

Penasihat Iran membantu kumpulan bersenjata di kedua-dua Iraq, di mana AS mempunyai sekitar 2,500 tentera AS dan Syria, di mana 900 tentera AS ditempatkan.

Baru-baru ini, IRGC mengurangkan penempatan pegawai kanan di Syria kerana serangan maut berturut-turut oleh Israel.

Bagaimanapun, satu lagi kumpulan Iraq yang disokong Iran, Nujaba, berkata pihaknya akan terus melancarkan serangan ke atas tentera AS di rantau itu sehingga perang di Gaza tamat dan tentera AS berundur dari Iraq.- REUTERS

Berita Harian X