Selasa, 30 Januari 2024 | 3:07pm
Kolej Universiti Sains Pendidikan dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP
Kolej Universiti Sains Pendidikan dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

Ketua PBB adakan pertemuan dengan penyumbang UNRWA

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan negara penyumbang kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin.

Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, perjumpaan itu diadakan susulan

isu beberapa negara memutuskan untuk menangguhkan sumbangan mereka.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata Guterres akan menjadi tuan rumah untuk pertemuan itu di ibu pejabat PBB di New York pada Selasa, lapor Agensi Berita IRNA.

Beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Britain, Finland dan Jepun bertindak sedemikian kerana mendakwa 12 kakitangan agensi PBB berkenaan terlibat dalam konflik Israel-Palestin.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan menamatkan serta-merta kontrak kakitangan berkenaan jika didapati terlibat.

Jurucakap UNRWA itu turut memberi amaran bahawa agensi berkenaan tidak dapat meneruskan aktiviti dan perkhidmatan di seluruh wilayah, termasuk Gaza selepas penghujung Februari jika pembiayaan terputus.

Langkah menangguhkan dana untuk UNRWA itu mencetuskan kecaman dari banyak negara, termasuk Iran yang mengatakan agensi itu adalah talian hayat untuk lebih dua juta penduduk di Semenanjung Gaza.

Tindakan seperti itu jelas menunjukkan tindakan pihak tertentu, terutama Barat, yang menyokong jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh rejim Israel.

Pegawai PBB dan Palestin sebelum ini meminta pembiayaan yang berterusan untuk membolehkan kerja-kerja kemanusiaan UNRWA di Gaza terus dilaksanakan.

Menurut laporan, kira-kira 150 pekerja yang bertugas untuk institusi antarabangsa, termasuk UNRWA telah terbunuh sejak Israel melancarkan perang genosid. - BERNAMA-IRNA

Berita Harian X